MEDVEDEV ketika menentang Djokovic, semalam.
MEDVEDEV ketika menentang Djokovic, semalam.
Agensi

Adelaide: Walaupun tewas kali keempat berturut-turut kepada Novak Djokovic di separuh akhir Antarabangsa Adelaide, Daniil Medvedev yakin mampu menebus kekalahan jika kedua-dua pemain bertembung sekali lagi pada Terbuka Australia.

Kekalahan 6-3, 6-4 semalam adalah yang paling teruk buat pemain Rusia itu di tangan jaguh Serbia terbabit dalam empat aksi terakhir mereka.

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui perlawanan semalam lebih dikuasai Djokovic tetapi keyakinannya tidak akan terjejas jika mereka bertemu sekali lagi .

Malah dia tidak gentar menentang Rafael Nadal yang mempunyai rekod pertemuan memihak pemain Sepanyol itu.

Medvedev kini mengimpikan pencapaian lebih cemerlang di Slam pertama musim ini dan berharap dapat mengatasi Djokovic atau Nadal, dua pemain yang menewaskannya di Terbuka Australia sejak dua tahun lalu.

"Dalam situasai sekarang, saya fikir mampu kembali menang ke atas mereka dan menjuarai kejohanan," kata Medvedev. "Sekali lagi, Novak dalam liga berbeza, 21 Slam tetapi secara umumnya saya kekal positif.

"Ia perlu kerana Slam pertama tidak lama lagi. Mahu tunjukkan aksi terbaik saya dan merasa nikmati suasana hebat seperti di Adelaide. Sangat mengujakan."

Beberapa kemenangan hebat Medvedev diraih ketika menentang Djokovic dan Nadal. Pada 2020, Medvedev menjuarai Pusingan Akhir ATP yang menyaksikan dia menewaskan Nadal di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 11:55 AM