DECTAR UKM bakal menjadi lokasi pengumpulan penggiat sukan bersempena AIS Harian Metro. FOTO AIZUDDIN SAAD
DECTAR UKM bakal menjadi lokasi pengumpulan penggiat sukan bersempena AIS Harian Metro. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Puluhan penggiat sukan terdiri daripada atlet, pemain badminton dan tonggak bola sepak serta pemimpin bakal berkumpul di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 8 Januari depan.

Selain daripada ahli sukan, majlis bakal diserikan dengan persembahan membabitkan artis jemputan yang akan membuat persembahan bagi merancakkan lagi majlis berkenaan.

Malah, dikhabarkan juga kemungkinan beberapa pemimpin negara turut akan hadir bagi meraikan pemenang setiap kategori dipertandingkan dalam Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro.

AIS bakal menobatkan Ikon Sukan Terbaik yang dipilih dalam kalangan calon Top 5 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan lapan kategori.

Lapan kategori yang dimaksudkan adalah Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Proses undian peringkat kedua bagi finalis setiap kategori sudah bermula pada 1 Disember dan sudah berakhir 27 Disember lalu.

AIS akan bersiaran secara langsung di saluran televisyen TV9, termasuk saluran YouTube TV9 dan Harian Metro serta laman web AIS di www.hmetro.com.my/ais, pada 8.30 malam, 8 Januari 2023.

Acara sama turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada bekas atlet sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam pembangunan industri sukan tempatan melalui kategori khas, Anugerah Ikon Sukan Legenda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 4:34 PM