REAKSI Nadal selepas tamat perlawanan menentang Paul. FOTO AFP
REAKSI Nadal selepas tamat perlawanan menentang Paul. FOTO AFP
AFP

Paris: Rafael Nadal tersingkir di pusingan kedua Paris Masters selepas tewas kepada pemain Amerika Syarikat (AS), Tommy Paul l 3-6, 7-6 (7/4), 6-1 awal pagi tadi sekali gus mencerahkan harapan Carlos Alcaraz untuk mengakhiri kempen tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia. '

Nadal yang mendapat 'bye' sebagai pilihan kedua beraksi perlawanan pertamanya dalam tempoh dua bulan selepas berehat di Mallorca bersama isteri dan bayi sulungnya.

Juara 22 kali Grand Slam itu terlebih dahulu menang lima daripada enam perlawanan set pembukaan tetapi Paul bangkit di set kedua dengan memenangi tieb-break sebelum mendominasi set ketiga untuk kemenangan terbesar dalam karier pemain nombor 31 dunia itu.

"Saya beraksi dengan teruk pada set ketiga dan tidak layak menang," kata Nadal yang juga juara 14 kali Terbuka Perancis tetapi tidak pernah menang gelaran di Bercy.

"Banyak perkara berlaku sejak beberapa bulan lalu. Tetapi kami selalu mencari alasan dan akhirnya ia selalu sama. Anda bermain baik, anda menang, jika tidak anda tewas," katanya lagi.

Nadal berkata dia menjangkakan akan bertanding di pusingan akhir Jelajah di Turin pada 13-20 November.

Paul akan menentang Pablo Carreno Busta untuk memburu tempat ke suku akhir manakala juara bertahan Terbuka AS, Alcaraz akan menentang Grigor Dimitrov di peringkat 16 terakhir selepas menewaskan pemain Jepun, Yoshihito Nishioka 6-4, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 9:10 AM