BORNA Coric berpeluang mewakili Croatia di Piala United tahun depan. FOTO AFP
BORNA Coric berpeluang mewakili Croatia di Piala United tahun depan. FOTO AFP
AFP

Sydney: Kejohanan baru membabitkan saingan berpasukan campuran yang dikenali sebagai Piala United, akan menjadi pembuka tirai musim baru tenis 2023 di Australia.

Kejohanan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai AS$15 juta (RM70 juta) berserta dengan mata ranking.

Ia akan menggantikan acara Piala ATP dan diadakan di Brisbane, Perth dan Sydney sebelum Grand Slam pertama Terbuka Australia bermula.

Sebanyak 18 negara akan mengambil bahagian membabitkan acara selama 11 hari bermula 29 Disember.

Setiap pasukan akan membariskan empat pemain lelaki dan empat pemain wanita dengan mata berdasarkan kejohanan bertaraf ATP/WTA 500.

"Piala United adalah sangat penting dan usaha sama strategik antara WTA, ATP dan Persatuan Tenis Australia yang mencerminkan komitmen berterusan dalam memartabatkan sukan.

"Acara perseorangan dan beregu campuran berpasukan yang menarik ini akan menghimpunkan bintang baru muncul dan atlet terkenal daripada kedua-dua jelajah untuk bersaing di pentas yang sama," kata Ketua WTA, Steve Simon.

Brisbane, Perth dan Sydney masing-masing akan menjadi tuan rumah dua kumpulan tiga negara dalam format round robin dari 29 Disember hingga 4 Januari dengan perlawanan terdiri daripada dua perlawanan perseorangan lelaki dan dua wanita dan satu beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 3:16 PM