NAZIFUDDIN (kanan) pada sidang media bersama Nur Azmi (dua kiri), hari ini. FOTO Affan Rostam
NAZIFUDDIN (kanan) pada sidang media bersama Nur Azmi (dua kiri), hari ini. FOTO Affan Rostam
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kutipan pingat emas kontinjen negara pada Sukan Sea Kemboja tahun depan dijangka akan berkurangan berbanding edisi 2021 di Vietnam, Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang menyifatkan sasaran diletakkan perlu lebih realistik dalam meletakkan sebarang sasaran pingat emas.

Ini kerana katanya, kontinjen negara perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak akan dapat menyamai atau melebihi jumlah kutipan pingat emas pada edisi sebelum ini kerana banyak sukan tradisional Kemboja yang akan dipertandingkan.

"Kita perlu realistik sebab kalau lihat banyak sukan yang boleh dapat pingat emas terpaksa dikurangkan dalam Sukan Sea Kemboja. Jadi, kita perlu terima realitinya bahawa kita tak boleh dapatkan emas seperti di Vietnam.

"Tuan rumah iaitu Kemboja juga meletakkan banyak sukan tradisional seperti fin swimming, catur Kemboja, bokator, gusti dan banyak lagi yang sememangnya bukan daripada Sukan Olimpik.

"Kita juga tak ada fokus langsung secara latihan dan juga atlet. Jadi kita tiada peluang nak dapatkan emas dalam Sukan Sea Kemboja. Naratif itu penting dan kita akan buat pemilihan dalam masa terdekat (11 Oktober ini)," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat bedah siasat kontinjen Malaysia di Sukan Sea Vietnam 2021, hari ini.

Sementara itu, ketua kontinjen Sukan Sea Vietnam 2021, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, hasil mesyuarat hari ini menjadi titik tolak supaya mereka dapat memperbaiki setiap kekurangan yang ada.

"Perbincangan hari ini bertujuan supaya kita dapat tambah baik segala kekurangan ketika di Sukan Sea di Hanoi, Vietnam. Walaupun kita tahu persiapan itu secara tiba-tiba selepas pandemik Covid-19.

"Tiada isu besar dibangkitkan wakil persatuan sukan melainkan isu penyediaan makanan dan pengangkutan ke venue pertandingan," katanya.

Untuk rekod, temasya Sukan Sea Vietnam 2021 menyaksikan kontinjen negara berada di kedudukan keenam selepas membawa pulang 39 pingat emas, 45 pingat perak dan 90 pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 7:52 PM