MOHD Nasir dan Sharon Wee mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama atlet dan jurulatih sukan larian berhalangan (obstacle race) di Petaling Jaya. FOTO MSN
MOHD Nasir dan Sharon Wee mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama atlet dan jurulatih sukan larian berhalangan (obstacle race) di Petaling Jaya. FOTO MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jangan 'syok sendiri' tapi biarlah realistik. Itu pesanan disampaikan ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) berkenaan sasaran pingat buat atlet masing-masing yang akan menggalas cabaran di temasya berkenaan Mei depan.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakanpertengahan bulan depan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Jawatankuasa Pemilihan Atlet dan NSA bagi menilai semula perkara berkenaan sebelum menetapkan sasaran keseluruhan kontinjen negara di Kemboja.

"Pada mesyuarat itu nanti kita akan pastikan sasaran mereka berikan adalah sasaran realistik, bukan untuk 'syok sendiri' atau memuaskan hati kita. Sebab itu, kita juga akan bekerjasama dengan MSN dan ISN kerana dari segi tahap kemampuan atlet, mereka lebih tahu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke sesi latihan skuad lari berhalangan negara hari ini.

Ujarnya, tekanan juga harus diberikan kepada atlet kerana tidak mahu berada di zon selesa.

"Mereka sebenarnya mampu tetapi mungkin disebabkan kurang semangat…jadi, kita perlu beri tekanan sedikit," katanya.

Tahun lalu di Sukan Sea Hanoi, kontinjen negara mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa iaitu pencapaian terburuk kontinjen negara sejak 1983.

Tambah Nasir, kontinjen negara yang beraksi di Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan akan cuba untuk mendapatkan pencapaian lebih baik berbanding tahun lalu.

Dalam pada itu, Nasir memaklumkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menilai semula sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan badan induk itu untuk temasya di Kemboja kali ini.

Katanya, walaupun sasaran itu relevan namun beliau menjelaskan, ia wajar dinilai semula memandangkan Malaysia tidak dapat menggunakan khidmat pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi pada temasya berkenaan.

"Ia perlu dinilai semula kerana sebelum ini ia (sasaran) dibuat membabitkan Azeem. Bukan kata ia tidak relevan, 10 pingat emas itu relevan tetapi kita hanya mahu lihat semula," kata Nasir.

Sebelum ini, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim menetapkan sasaran 10 emas ke atas skuad olahraga negara mengambil kira pencapaian serta prestasi semasa setiap atlet.

Di Hanoi, skuad olahraga kebangsaan membawa pulang lima emas sekali gus menepati sasaran ditetapkan KOM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 4:07 PM