KHAIRI meraikan kejayaan meraih emas di Vietnam.
KHAIRI meraikan kejayaan meraih emas di Vietnam.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2021 bagi kelas 50-55 kilogram (kg), pesilat sedang meningkat, Khairi Adib Azhar bertekad mengulangi pencapaian itu pada temasya sama di Kemboja, Mei ini.

Pesilat muda berusia 21 tahun itu yakin dengan prestasinya ketika ini untuk merealisasikan sasaran kutipan emas buat kontinjen negara itu, meskipun bakal berhadapan cabaran berbeza pada temasya berkenaan kali ini.

"Saya akan buat yang terbaik di Kemboja nanti dan kini bersedia mengulangi pencapaian kutipan emas di Vietnam tahun lalu.

"Latihan yang agak keras ketika ini banyak membantu meningkatkan tahap kecergasan dan skil persembahan, namun ia penting untuk saya berada dalam keadaanterbaik menjelang saingan di Kemboja.

"Saya mahu persembahan kali ini lebih menyerlah dan meyakinkan biarpun siapa juga lawan bakal dihadapi kerana fokus utama adalah untuk mendapatkan pingat emas buat pasukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika ini, Khairi Adib bersama skuad pencak silat negara sedang menjalani latihan intensif di Bandung, Indonesia, sebagai persiapan terakhir menjelang saingan di Kemboja yang bermula dari 5 hingga 17 Mei.

Menurut Khairi Adib, persiapan yang dilakukan kali ini lebih baik berbanding ketika Sukan Sea Vietnam sekali gus meyakinkannya untuk berhadapan dengan mana-mana pencabar dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 6:41 PM