DARWISH membuka gerai menjual kopi di Alam Budiman, Selangor.
DARWISH membuka gerai menjual kopi di Alam Budiman, Selangor.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas hasrat untuk beraksi di Kejohanan BMX Dunia di Perancis Julai lalu tidak kesampaian, pelumba remaja BMX negara, Darwish Putra Muhd Sanusi tidak akan berputus asa.

Dia tekad bangkit dan mengumpul sebanyak mata bagi melayakkan diri beraksi di kejohanan dunia tahun depan.

Biarpun keputusan di Kejohanan BMX Asia (ACC) yang berlangsung di Nilai minggu lalu tidak begitu memberangsangkan, ayah kepada Darwish merangkap ketua jurulatih kebangsaan Muhd Sanusi Kamarul Azhar berkata misi ke Kejohanan Dunia akan diteruskan untuk tahun depan.

"Hasrat Darwish ke Kejohanan Dunia tahun ini tak kesampaian kerana kami kekurangan dana. Tapi tak mengapa, kami akan cuba untuk tahun depan. Dia juga tak putus asa dan semangat dia semakin membara untuk wakil negara," katanya.

Pada aksi ACC Darwish menamatkan saingan kategori remaja 17 dan 18 tahun di kedudukan kelima dalam acara dikuasai wakil Jepun, Hyoga Kiuchi manakala Muhammad Ibnu Rusyid Aulia dari Indonesia perak dan atlet Thailand Bawornpith Nilsonthi gangsa.

Terdahulu, Darwish terpaksa berusaha keras mendapatkan sumber kewangan dengan membuka gerai menjual kopi di Alam Budiman, Selangor. Ia inisiatif sendiri pelajar berusia 17 tahun itu dalam usaha mendapatkan dana kerana segala-galanya perlu bermula kerana ingin melakar sejarah menjadi pelumba BMX pertama negara layak ke temasya Olimpik 2028 di Los Angeles.

Darwish antara bakat muda yang mempunyai potensi cerah dalam sukan itu apabila muncul juara Cabaran Antarabangsa BMX C1 di Jakarta, perlumbaan pertama dan naib juara perlumbaan kedua serta mengungguli Kejohanan BMX Remaja Sportsexcel.

Bergelar juara kebangsaan sebanyak tiga kali sejak berusia 13 tahun, Darwish dilihat mempunyai potensi cerah mengembangkan bakatnya di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 3:56 PM