DARWISH (kiri) meraih perak di Sukan Komanwel Remaja.
DARWISH (kiri) meraih perak di Sukan Komanwel Remaja.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impiannya untuk mengukir nama dalam sukan BMX tidak kesampaian oleh kerana kekangan kewangan selain acara itu masih belum mendapat perhatian khusus daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun itu tidak menghalang Darwish Putra Muhd Sanusi berjaya dalam sukan berbasikal apabila dia membuktikan kemampuan menyumbangkan sesuatu buat negara dengan meraih pingat perak acara keirin Sukan Komanwel Remaja di Trinidad and Tobago minggu lalu.

Emas dimenangi atlet Australia, Tayte Ryan manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Syndel Samaroo. Bagi ayahnya Muhd Sanusi Kamarul Azhar merangkap jurulatih peribadi, dia tetap akan menyokong minat anaknya biarpun beralih bidang dari BMX ke trek.

"Tahun lalu ketua jurulatih, John Beasley ada membuat sesi pemilihan, selepas hampir lima hari ujian dijalankan, Darwish terpilih untuk menjadi pelumba pecut trek negara.

"Alhamdulillah, dia berjaya membuktikan dengan pingat perak yang diraihnya," katanya.

Bercita-cita menjadi seperti idolanya, Datuk Azizulhasni Awang, Darwish selepas ini akan mengorak langkah menyertai Kejohanan Berbasikal Remaja Dunia di Cali, Colombia bermula dari 23 hingga 27 Ogos ini juga dalam acara trek.

Sanusi berkata, ketika usia Darwish 13 tahun, dia pernah bersuara untuk menjadi seperti Azizul dan kini dia menghampiri impiannya itu.

"Elok juga Darwish tukar bidang, walaupun tak sampai setahun, dia sudah menonjol dalam acara trek ini. BMX ni gelap masa depan. MSN masih tak nampak lagi sukan BMX ini mampu bersaing di peringkat dunia. Kalau trek memang ada program khusus dari MSN.

"BMX ini asas dalam sukan berbasikal yang lain. Darwish sudah membuktikan dia boleh berjaya dari BMX ke trek," katanya.

Tahun lalu, pelumba muda berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan apabila sanggup melakukan pelbagai kerja untuk mencari sumber kewangan bagi menampung penyertaannya ke Kejohanan BMX Dunia di Perancis.

Dia berusaha keras dengan membuka gerai menjual kopi di Alam Budiman, Selangor.

Ia inisiatif Darwish dalam usaha mendapatkan dana untuk menjadi pelumba pertama negara layak ke temasya Olimpik 2028 di Los Angeles dalam acara BMX tapi kini tidak lagi dan sudah boleh memberi fokus sepenuhnya kepada acara trek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 3:32 PM