ALYSSA jadi taruhan untuk menyerlah di Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia. FOTO AZRUL EDHAM
ALYSSA jadi taruhan untuk menyerlah di Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia. FOTO AZRUL EDHAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seramai lapan atlet muda negara akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Berbasikal Remaja Dunia yang akan berlangsung di Cali, Colombia bermula dari 23 hingga 27 Ogos ini dalam usaha meneruskan legasi Datuk Azizulhasni Awang.

Dilatih oleh dua bekas pelumba negara, Zamani Mustarudin bagi acara endurance dan Edrus Yunos dalam acara trek, skuad berbasikal remaja negara kali ini bertekad untuk mengulangi pencapaian meraih pingat yang kali terakhir disumbangkan oleh Muhammad Firdaus Zonis dalam acara 1 kilometer ujian masa pada 2014 di Korea Selatan.

Begitupun bagi jurulatih endurance, Zamani berkata, peluang itu tampak sukar namun bukanlah satu yang mustahil kerana beliau yakin kemampuan barisan pelumba negara yang kini berada di tahap terbaik selepas meraih dua pingat perak, dua gangsa di Sukan Komanwel Remaja di Trinidad and Tabago bulan lalu menerusi Nur Alyssa Mohd Farid (trek) dan Darwish Putra Muhd Sanusi (trek), sementara gangsa masing-masing oleh Muhammad Hafiq Mohd Jafri (trek) dan Lau New Joe (lebuh raya).

"Untuk meraih pingat itu memang agak sukar kerana kejohanan ini antara yang paling besar bagi kategori remaja dan masing-masing ingin berusaha untuk merebut jersi pelangi.

"Tapi saya lihat itu tidak mustahil kerana pelumba kita sekarang dalam keadaan bersedia untuk berjuang demi negara dan juga diri sendiri," katanya.

Antara pelumba yang akan mengibarkan cabaran negara adalah Muhammad Hafiq, New Joe, Dahlia Hazwani Hasyim dan Ameera Alya Zahirrudin dalam acara endurance.

Manakala bagi acara trek akan diwakili pemenang pingat perak di Sukan Remaja Komanwel dalam acara keirin, Darwish Putra, Yong Ann Tung, Ahmad Zharif Ahza Ahmad Jumry dan Nur Alyssa.

"Saya menaruh sedikit keyakinan terhadap Hafiq, New Joe dan Allysa kerana yakin mereka mungkin boleh membuat kejutan dalam acara masing-masing.

"Jika pelumba kita bijak untuk mencuri kedudukan dan keyakinan itu datang sebelum dan semasa perlumbaan, kita ada peluang dalam acara scracth, perlumbaan penyingkiran dan keirin. Insya-Allah kita boleh mendapat pingat.

"Doakan kami semua rakyat Malaysia. Kami berjuang demi lencana di dada sempena bulan kemerdekaan ini," katanya yang dibantu oleh Shahrul Azman sebagai mekanik pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 4:02 PM