BONNIE  bersama jurulatihnya, Jamil Adam  di National Exhibition Centre. FOTO Aswadi Alias
BONNIE bersama jurulatihnya, Jamil Adam di National Exhibition Centre. FOTO Aswadi Alias
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Juara powerlifting dunia, Bonnie Bunyau Gustin hadir di sini, membawa cabaran negara pada temasya Sukan Komanwel 2022 dengan misi besar untuk mencipta kejayaan serampang dua mata.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2021 itu bukan saja mahu mengharumkan nama negara menerusi kejayaan memenangi pingat kejuaraan, malah lebih daripada itu.

"Saya mahu mencipta satu lagi sejarah dan mengharumkan nama negara," katanya ketika ditemui selepas selesai menjalani latihan di Pusat Pameran Nasional (NEC) Birmingham di sini.

"Sudah tentu saya mengimpikan emas untuk negara. Itu keutamaan saya. Dan sudah pasti saya berusaha sebaiknya, sama seperti kejohanan lain seperti Olimpik untuk mencapai sasaran itu.

"Namun dalam masa sama, saya juga ada misi lain pada temasya ini. Saya teringin untuk menambah koleksi pingat kejuaraan dalam sukan powerlifting dan merekodkan pencapaian emas pertama pada temasya Komanwel buat negara," katanya yang hadir bersama pengurusnya, Jamil Adam di sini.

Sukan Komanwel 2022 adalah temasya kedua disertai Bonnie selepas kali pertama di Gold Coast, Australia pada 2018. Pada penyertaan sulung itu, dia terlepas pingat apabila menduduki tangga keempat.

Dia bagaimanapun berjaya mencipta sejarah dan sekali gus menebus kekecewaannya apabila muncul juara dunia dua kali iaitu masing-masing pada 2019 di Nur Sultan, Kazakhstan dan 2021 (Georgia).

Pada Sukan Paralimpik Tokyo, tahun lalu, Bonnie mencipta sejarah menjadi atlet pertama negara memenangi emas selepas mengungguli kategori 72kg dengan angkatan 228kg sekali gus memperbaharui rekod temasya.

Dia yang berasal dari Sarawak adalah pemegang rekod dunia dalam kategori sama dengan angkatan 230kg.

Kejayaan terbaharunya adalah muncul juara kategori 72kg pada Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan, bulan lalu.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik atlet powerlifting negara di Sukan Komanwel adalah meraih perak menerusi Jong Yee Khie pada edisi 2018 di Gold Coast.

Dia bagaimanapun terpaksa menarik diri daripada temasya kali ini selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan dalam persiapan menghadapi temasya kedua terbesar dunia itu.

Dalam pada itu, Jamil berkata penampilan Bonnie pada Sukan Komanwel kali ini pastinya berbeza berbanding kemunculan sulungnya di Gold Coast, empat tahun lalu.

"Masa itu dia masih baharu lagi dan prestasinya mula meningkat bermula 2019 dan 2020. Tapi kali ini dia sudah matang dan berada pada prestasi terbaik.

"Ya, kita memang menyedari akan harapan rakyat Malaysia terhadap Bonnie pada temasya ini. Insyalllah, seperti pada kejohanan terdahulu, kita akan buat yang terbaik demi negara," katanya sambil mengakui Nigeria, India dan tuan rumah, England sebagai pencabar utama Bonnie pada temasya kali ini.

Bonnie dijadual berentap di NEC Birmingham pada 4 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 5:56 PM