MIRZAN (dua kiri) menunjukkan poster Billie Jean King Cup. -FOTO Nazri Abu Bakar
MIRZAN (dua kiri) menunjukkan poster Billie Jean King Cup. -FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) bakal menganjurkan Billie Jean King Cup by BNP Paribas, Asia /Oceania Group II pada 8 hingga 14 Ogos di Pusat Tenis Negara, Kuala Lumpur.

Presiden LTAM, Mirzan Tun Mahathir berkata, pihaknya diberi penghormatan oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) untuk menganjurkan acara berprestij terbabit selepas kali terakhir di anjurkan di venue sama pada 2019 namun tiada pertandingan selepas itu susulan pandemik Covid-19.

Katanya, bagi kali ini LTAM sudah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan berkenaan dalam masa sama mahu menjadi antara penganjur yang terbaik.

Menurutnya, sebanyak 11 pasukan yang bakal menyertai saingan antaranya Chinese Taipei, Singapura, Thailand, Hong Kong, Iran, Pacific Ocenia, Vietnam, Iraq, Laos, Maldives dan tuan rumah Malaysia.

"Pada masa ini Malaysia berada dalam kumpulan II, dan kami menyasarkan untuk mencapai prestasi yang baik dengan dinaikkan pangkat ke kumpulan 1.

"Bagaimanapun, saingan tetap sengit terutama daripada Thailand, Hong Kong, Chinese Taipei dan lain- lain negara," katanya di Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata, kejayaan meraih dua gangsa di Sukan Sea sebelum ini menjadi azimat berharga dan lonjakan semangat buat pasukan negara merealisasikan sasaran terbabit.

Katanya, pemilihan pemain untuk skuad berkenaan sedang berlangsung dengan terdapat sekurang -kurangnya enam atlet berpotensi kini bersaing untuk disenaraikan.

Beliau berkata, buat masa ini atlet utama negara Jawairiah Noordin berada dalam radar pasukan bagi mengetuai skuad berkenaan, bagaimanapun pemilihan masih berlangsung dan senarai akhir akan diketahui sedikit masa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 2:08 PM