SKUAD tenis negara meraih gangsa dalam acara berpasukan lelaki. FOTO Agensi
SKUAD tenis negara meraih gangsa dalam acara berpasukan lelaki. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Selepas kecewa di Sukan Sea Manila 2019, skuad tenis negara kali ini meninggalkan Hanoi dengan dua pingat gangsa sekali gus memberi petanda positif pada masa hadapan.

Malaysia meraih gangsa menerusi Aiman Hamdan, Koay Hao Sheng, Imran Daniel Abd Hazli dan Syed Agil Syed Naguib dalam acara berpasukan.

Mereka tewas 0-2 kepada Indonesia pada separuh akhir namun mempamerkan semangat juang tinggi sehingga mengheret perlawanan ke set penentuan dalam kedua-dua perlawanan.

Jawairiah Noordin-Sharifah Elysia Wan Abdul Rahman turut menghadiahkan gangsa dalam acara beregu wanita selain memaksa lawan bekerja keras sebelum tewas pada separuh akhir.

Malaysia gagal memenangi sebarang pingat dalam acara tenis di Manila pada 2019.

Pengurus pasukan, Kamaruzzaman Kedah berkata, prestasi baik pasukan setakat ini mencerahkan harapan untuk meraih kejayaan di Sukan Sea Kemboja tahun depan.

"Keseluruhannya kami berpuas hati dengan prestasi pemain yang mampu mencapai sasaran pingat ditetapkan," kata Kamaruzzaman.

"Strategi kami menggabungkan pemain berpengalaman dengan pemain muda berhasil. Kami hampir mengejutkan Indonesia pada separuh akhir dalam acara berpasukan lelaki dan hanya beberapa mata lagi untuk menewaskan Thailand dalam acara beregu wanita.

"Pemain senior seperti Jawairiah memainkan peranan penting untuk kami sepanjang kejohanan dan menjadi contoh kepada pemain muda. Dia berada pada prestasi terbaik dan kami pasti memerlukan khidmatnya di Sukan Sea Kemboja.''

Selain Jawairiah, 31, dan Syed Agil, 28, skuad tenis negara di Hanoi dibarisi pemain muda yang tampil kali pertama seperti Iman Syuhada Abdullah, Saw Jo-Leen, Zenn Lim dan Imran Daniel Abd Hazli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 3:55 PM