SEBAHAGIAN pasukan yang menyertai Kejohanan Tenis Piala Billie Jean King. FOTO  MOM
SEBAHAGIAN pasukan yang menyertai Kejohanan Tenis Piala Billie Jean King. FOTO MOM
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) amat mengalu-alukan persatuan sukan di negara ini untuk menganjurkan kejohanan besar.

Ia selepas Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) diberi kepercayaan menganjurkan kejohanan berprestij Piala Billie Jean oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) buat kali kedua berturut-turut.

Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Jalan Duta bermula hari ini hingga 29 Julai ini membabitkan penyertaan 12 pasukan bagi peringkat Asia/Oceania.

Presidennya MOM, Tan Sri Mohd Norza Zakaria berkata, kepercayaan itu membuktikan Malaysia sentiasa menjadi pilihan penganjuran antarabangsa dengan beliau berharap agar lebih banyak lagi persatuan mengambil inisiatif seperti itu untuk menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa.

"Seharusnya apa yang dilakukan LTAM menjadi contoh kepada persatuan lain untuk mencari jalan bagaimana untuk membawa kejohanan sedemikian rupa diadakan di Malaysia.

"Ini kerana ia dapat menjadikan Malaysia salah satu negara yang menjadi pilihan dalam lanskap sukan dan secara tidak langsung kejohanan seperti ini mampu menjadi pemangkin dan semangat atlet negara," katanya.

Tegas Norza, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa seperti itu diharapkan dapat memainkan peranan lebih proaktif sebagai tanda aras di manakah kedudukan kita dalam erti kata lain di peringkat Asia atau Asia Pasifik.

Kejohanan yang berlangsung selama enam hari itu menyaksikan Malaysia diwakili oleh S Selvarajoo sebagai kapten pasukan bersama-sama Lim Sze Xuan, Shihomi Leong, Lim Zan Ning, Hannah Yip dan Iman Shuhada.

Selain mereka, negara lain yang turut beraksi adalah New Zealand, Pakistan, Hong Kong, Mongolia, Indonesia, Singapura, Turkmenistanm, Guam, Taiwan, Sri Lanka dan Pasifik Oceania.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 6:34 PM