MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO Bernama
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sasaran pingat munasabah akan diletakkan untuk kontinjen negara pada temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam, bermula 12 hingga 23 Mei depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) sedang melakukan kajian untuk meletakkan sasaran bersesuaian.

Beliau mengakui belum dimaklumkan oleh MSN dan percaya mereka akan mengkaji dan meletakkan satu sasaran munasabah.

"Saya amat mementingkan, apabila atlet membawa nama negara, bukan (motivasi mereka) cuma lakukan yang terbaik.

"Walaupun di mana tahap mereka pergi, pada saya, apabila menyarung jersi kebangsaan, kita tak boleh berikan nombor dua atau tiga, tetap kena berikan yang terbaik nombor satu, itu lebih penting.

"Pada saya kalau atlet itu tak dapat bawa pulang pingat tetapi berjaya mengatasi rekod peribadi, amat baik bagi saya.

"Itu saya secara peribadi, tetapi tentunya saya harap dan berdoa supaya atlet kita bukan saja dapat berikan persembahan terbaik bagi memecah rekod peribadi, tetapi dapat membawa pulang sebanyak pingat yang boleh," katanya Ahmad Faizal selepas menghadiri sesi dialog dan berbuka puasa bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM), malam tadi.

Pada Sukan Sea Filipina 2019, kontinjen negara gagal mencapai sasaran 70 emas 51 perak dan 105 gangsa apabila sekadar meraih 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa.

Sebelum ini, Timbalan Menteri KBS, Datuk Seri Ti Lian Ker pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara menjelaskan mengenai sasaran awal kontinjen negara di Hanoi.

Lian Ker berkata, berdasarkan perkembangan semasa dan perbandingan prestasi semasa atlet bagi temasya dwi tahunan itu, sasaran awal ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan adalah 79 pingat keseluruhan merangkumi 31 emas, 19 perak dan 29 gangsa.

Jumlah sasaran awal diletakkan buat 612 atlet yang menyertai kontinjen kali ini dan difahamkan angka sasaran akhir dijadual diumumkan dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang, 25 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 4:12 PM