PENYOKONG negara ketika menyaksikan perlawanan di antara pesilat Malaysia Muhammad Khairi Adib Azhar dan Khoirudin Mustakim dari Indonesia. FOTO Bernama
PENYOKONG negara ketika menyaksikan perlawanan di antara pesilat Malaysia Muhammad Khairi Adib Azhar dan Khoirudin Mustakim dari Indonesia. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Hanya berbaki kira-kira seminggu lagi sebelum temasya Sukan Sea Vietnam 2021 melabuhkan tirai secara rasmi 23 Mei ini namun bagi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, masih ada ruang untuk kontinjen melepasi sasaran 36 pingat emas diinginkan.

Setakat ini, Malaysia masih mempunyai peluang untuk menambah kutipan emas dalam tempoh berbaki tujuh hari ini dan bagi Lian Ker yang turut memberikan sokongan kepada kontinjen di Hanoi, belum masanya untuk menekan butang panik.

"Daripada segi rentak itu, belum mencapai prestasi diharapkan tetapi masih lagi awal," kata Lian Ker selepas menyaksikan perlawanan silat pencak di sini. "Kita masih lagi ada kekuatan dalam seperti sukan lain seperti gimnastik, badminton dan sebagainya.

"Kita harap akan dapat tambahan dan boleh menutup kekurangan (pungutan emas). Kita harapkan akan ada penamat yang baik dan kita mempunyai keyakinan penuh terhadap atlet kita daripada sudut semangat juang mereka.

"Seperti semalam, Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan)... walaupun banyak halangan, namun mental dia kuat meskipun dikuarantin dua hari. Namun dia masih boleh mengatasi (rintangan mental dan fizikal).

"Jadi, sama sama seperti dia, kita mempunyai budaya dan semangat kekentalan atlet kita. Kita masih mempunyai harapan untuk mencapai sasaran ditetapkan."

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan sasaran 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa ke atas kontinjen negara ke Hanoi yang dipimpin Datuk Nur Azmi Ahmad.

Sementara itu, Lian Ker turut memuji kemampuan skuad bola sepak negara yang selepas ini dijadual bertemu pasukan tuan rumah ataupun Indonesia di pentas separuh akhir, Khamis ini.

"Saya rasa kita mempunyai peluang yang tinggi. Pasukan kita cukup mantap untuk hadapi lawan seperti Indonesia mahupun tuan rumah. Kita harap mereka menjadi harapan kita untuk dapatkan emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:34 PM