Azmi (kiri) mahu bakat Azeem digunakan sebaik mungkin. FOTO NSTP
Azmi (kiri) mahu bakat Azeem digunakan sebaik mungkin. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


BEKAS pelari pecut negara, Azmi Ibrahim mahu bakat dimiliki Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak disia-siakan agar pelari muda itu tidak menjadi atlet 'mee segera'.

Mengambil contoh beberapa atlet pecut yang lain seperti Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan yang semakin hilang dari radar, Azmi tidak mahu Azeem menjadi mangsa seterusnya.

Bagaimanapun Azmi menegaskan beliau tidak terkejut jika perkara itu berulang kepada Azeem jika atlet berusia 15 tahun itu tidak dijaga dengan sewajarnya.

"Apa yang penting sekarang ini adalah mencari resepi bagaimana untuk memastikan Azeem terus konsisten dalam mencatatkan masa lariannya.

"Tidak dinafikan Azeem mempunyai bakat sebagai pelari pecut dan saya sendiri pernah melihat dia beraksi. Dia mempunyai jiwa dan minat untuk berlari.

"Kita perlu pastikan apa yang terjadi sebelum ini yang mana bakat yang kita miliki seperti Badrul dan Khairul Hafiz hilang sekelip mata macam mee segera tidak berulang," katanya.

Justeru pihak berwajib perlu memainkan peranan untuk memastikan Azeem terus kekal konsisten dengan catatan masa yang lebih baik.

Memberi contoh terbaik barisan pelari Indonesia seperti Lalu Muhammad Zohri, Azmi berkata, ilmu konsisten itu perlu dicari. Lalu kini semakin laju dengan catatan masa yang lebih pantas. Dia muncul juara remaja dunia dengan catatan 10.18s dan terbaru di Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Lalu meraih perak (10.13s). Malah ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia yang lalu, Lalu merekodkan 10.20s.

"Jadi ketika ini apa yang penting adalah atlet itu sendiri. Apa yang diinginkan dalam kariernya.

"Sekarang ini keluarga, guru dan jurulatih perlu memainkan peranan kerana dia masih muda," katanya.

Kejayaan Azeem di kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia, menjadi topik hangat yang diperdebatkan apabila berjaya mencipta tiga rekod baru dan tiga emas dalam acara 100, 200m dan lompat jauh.

Azeem mendapat jolokkan Usain Bolt Malaysia selepas lariannya dalam acara 100m di MSSM menjadi tular di laman sosial selepas jauh meninggalkan pencabarnya.

Azeem mencatatkan 10.63s untuk rekod baru kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 4:33 PM