HARRIF melintasi garisan penamat di tempat pertama. FOTO Thai Cycling Association
HARRIF melintasi garisan penamat di tempat pertama. FOTO Thai Cycling Association
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Peringkat ketiga perlumbaan Jelajah Thailand hari ini menjadi milik pelumba pecut berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh dari Pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG).

Kejayaan itu berjaya menaikkan semula nama TSG sebagai pencabar utama juara keseluruhan untuk jelajah yang menawarkan enam peringkat perlumbaan itu.

Pada saingan yang menawarkan laluan sejauh 117 kilometer (KM) bermula dari Sakoon Nakhon dan penamat di tempat sama, ia memberi kelebihan buat pakar pecut negara itu yang pernah memenangi dua peringkat perlumbaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 2020.

Hanya menawarkan satu pendakian kategori 2, laluan landai di pada penghujung perlumbaan menyaksikan Harif dicabar hebat oleh pelumba Team Ukyo, Raymond Kreder sebelum berjaya melepasi garisan penamat selaku juara peringkat dengan catatan 2 jam 30 minit 45 saat.

Manakala Kreder di tempat kedua dan pelumba skuad kebangsaan Malaysia, Muhammad Elmi Jumari ketiga.

Bagi Harrif kejayaannya hari ini banyak dibantu oleh rakan pasukan yang bekerja keras memastikan kejayaannya milik TSG.

"Syukur Alhamdulillah rezeki saya apabila dapat menang peringkat ketiga hari ini.

"Terima kasih sangat kepada rakan pasukan yang memang berusaha keras dan 100 peratus buat kerja untuk saya.

"Alhamdulillah, strategi pasukan menjadi dan rezeki saya hari ini," katanya.

Peringkat keempat esok menawarkan laluan sejauh 176km yang akan bermula dari Sakon Nakhon dan tamat di Nakhon Phanom.

Ia dilihat sekali lagi mampu menjadi taruhan terbaik buat Harrif mengulangi pencapaian hari ini kerana menawarkan laluan landai dengan tiga zon pecut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 1:44 PM