IGA (kanan) memegang trofi kemenangan bersama Naomi. FOTO Agensi
IGA (kanan) memegang trofi kemenangan bersama Naomi. FOTO Agensi
AFP

Miami: Iga Swiatek meneruskan aksi cemelerng apabila pemain nombor satu dunia itu merangkul kejuaraan WTA 1000 ketiga berturut-turut selepas menewaskan Naomi Osaka 6-4, 6-0 pada final Terbuka Miami, awal pagi tadi.

Bintang Poland berusia 20 tahun itu menjadi pemain keempat dan termuda memenangi Indian Wells dan Miami pada tahun yang sama selepas Steffi Graf, Kim Cljisters dan Victoria Azarenka pernah melakukannya.

Iga yang akan disahkan secara rasmi sebagai pemain nombor satu dunia apabila ranking baharu WTA diumum esok, kini sudah memenangi 17 perlawanan berturut-turut termasuk meraih gelaran di Doha, Indian Wells dan kini Miami.

Naomi pula meraih kembali prestasinya di Florida walaupun final pertama juara Grand Slam empat kali itu sejak Terbuka Australia pada 2021 berakhir dengan kekalahan.

"Saya rasa bertuah menjadi antara pemain yang pernah meraih kejayaan berganda.

"Saya tahu sukar untuk bermain di kejohanan ini secara berturut-turut tetapi saya mengambil pendekatan fokus kepada setiap perlawanan terlebih dahulu.

"Sangat terkejut dapat mengharungi segala cabaran pada saingan ini. Saya masih orang yang sama dan tidak mahu kejayaan itu mengubah saya menjadi negatif," kata Iga.

Iga yang memenangi Grand Slam sulungnya di Terbuka Perancis pada 2020 ketika berusia 19 tahun, akan menjadi pilihan untuk memenangi gelaran Roland Garros bulan depan di permukaan kegemarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 9:32 AM