IGA menjulang trofi kejuaraan di Cancun, Mexico. FOTO AFP
IGA menjulang trofi kejuaraan di Cancun, Mexico. FOTO AFP
Reuters

Cancun, Mexico: Iga Swiatek mudah menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS) Jessica Pegula 6-1, 6-0 untuk menjuarai kejohanan penamat musim, Final WTA awal pagi tadi sekali gus merampas ranking nombor satu dunia dari Aryna Sabalenka.

Pemain Poland itu mematahkan servis Jessica lima kali dan memenangi 11 permainan terakhir dalam masa 59 minit untuk menjuarai gelaran pertama Final WTA dalam perlawanan yang tertangguh akibat hujan.

"Saya berterima kasih kepada pasukan yang bersama saya sepanjang musim," kata Iga ketika sesi penyampaian hadiah.

"Kami berdepan banyak detik turun naik tetapi kali ini sudah pasti naik dan banyak lagi akan datang jika kami terus bekerja keras."

Iga menamatkan musim ini dengan 11 kemenangan berturut-turut dan menduduki ranking teratas untuk tahun kedua selepas dirampas Aryna susulan tewas kepada pemain itu di Terbuka AS.

Iga, 22, meraih enam daripada keseluruhan 17 gelaran dalam kariernya musim ini termasuk menjuarai Terbuka Perancis untuk trofi Grand Slam keenamnya.

Bagi Jessica, 29, yang bergelut dengan servis serta gagal menandingi tahap tenaga Iga akur dengan kekalahannya itu.

"Tahniah menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dan menjuarai kejohanan ini. Anda terus menekan saya untuk menjadi pemain lebih baik dan saya hargainya.

"Saya berazam dapat beraksi lebih baik hari ini tetapi kadang kala ia tidak seperti diharapkan, jadi tahniah sekali lagi kepada dia."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 8:37 AM