HARRIF bersama pingat dimenangi. FOTO TSG
HARRIF bersama pingat dimenangi. FOTO TSG
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh membuktikan dia cukup berbisa di pentas antarabangsa apabila berjaya menduduki tempat kedua Grand Prix Justiniano di Turki semalam.

Pelumba berasal dari Kuala Terengganu itu menamatkan perlumbaan sejauh 155.3 kilometer dari Pazar ke Velo Alanya dengan catatan masa 3 jam 19 minit untuk memastikan tempat kedua miliknya.

Tempat pertama pula milik pelumba dari Belarus, Karaliok Yauheni (Minsk Cycling Club) manakala Bloem Joun dari Belanda(Abloc CT) ketiga.

Empat lagi pelumba TSG Wan Abdul Rahman Hamdan menamatkan perlumbaan di tempat ke 16, Irwandie Lakasek (82), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (134) dan Mohd Zamri Saleh di tangga (163).

Mengikut rekod, pada Februari tahun lalu, Harrif yang juga bekas pelumba trek negara itu berjaya memahat sejarah selepas muncul pelumba pertama Malaysia mengungguli siri Jelajah Eropah pada Grand Prix Velo Manavgat di Turki.

Sementara itu, Harrif berkata, bantuan daripada rakan sepasukan memastikan dia mampu mengekalkan momentum kayuhan seterusnya berjaya menaiki podium pada perlumbaan terbabit.

Katanya, perlumbaan itu juga sebagai penanda aras untuk meningkatkan lagi prestasi sebagai persiapan menyertai kejohanan akan datang.

"Syukur dapat tempat kedua dan rakan sepasukan banyak membantu namun 300 meter terakhir sebelum garisan penamat agak penat juga namun dapat mengekalkan kayuhan untuk tempat kedua.

"Ini (kemenangan) boleh dikatakan sesi pemanas badan untuk saya dalam usaha meningkatkan lagi kualiti kayuhan selepas agak tenggelam pada perlumbaan sebelum ini," katanya.

Pengurus pasukan TSG, Mohd Saiful Anuar Aziz berkata, kejayaan Harrif susulan satu kerja sepasukan yang bagus kerana pada 5km terakhir mereka berjaya membantu pelumba itu berada di hadapan peloton.

"Sasaran pasukan untuk peringkat landai hari ini buat pelumba pecut kita Harrif. Kita letak lima pelumba tempatan untuk buat kerja membantu Harrif dan nyata ia menjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 1:08 PM