Wan Mohd Husni Abdullah
Wan Mohd Husni Abdullah
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah hukuman terhadap pengurus pasukan sepak takraw wanita Malaysia, Wan Mohd Husni Abdullah mengikut garis panduan atau peraturan termaktub dalam Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf)?

Perkara terbabit menimbulkan persoalan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) apabila melihat hukuman penggantungan lima tahun oleh Astaf sebenarnya cukup berat tanpa diberikan sebarang ruang dan peluang untuk membela diri oleh badan induk sepak takraw Asia itu.

Perkara terbabit dibangkitkan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang mahu segera mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan supaya Husni mendapat pembelaan sewajarnya.

Ahmad berkata, pihaknya tidak mempertikaikan keputusan berkenaan, namun mahu Astaf memberikan sebab hingga Husni harus dikenakan hukuman itu.

"Pada masa ini, saya tidak mahu lucutkan semua jawatan disandang Husni memandangkan beliau masih dalam tempoh rayuan.

"Saya lihat tidak adil jika beliau tiada sebarang ruang diberikan untuk rayuan, malah ketiadaan Husni pasti merencatkan pembangunan sepak takraw yang dirancang sebelum ini.

"Selain itu, beliau diaibkan dan dimalukan pihak berkaitan. Seharusnya kita beri peluang kepadanya yang mungkin membawa perkara terbabit kepada tindakan undang-undang," katanya.

Sebelum itu, Husni menjelaskan sedia mengemukakan rayuan berkaitan hukuman penggantungan yang dilihat cukup berat.

Malah, pada masa sama PSM juga mengutuskan surat kepada Astaf minggu depan bagi meminta penjelasan lanjut.

PSM berbincang bersama peguam untuk meminta dokumen penting berhubung keputusan itu kepada Astaf sebelum mengeluarkan surat rasmi penggantungan kepada Husni seperti diminta badan induk sepak takraw Asia itu.

Sementara itu, PSM boleh dikenakan tindakan tatatertib jika enggan mematuhi arahan Astaf berkaitan hukuman terhadap Wan Mohd Husni.

Presiden Astaf, Abdul Halim Kader dalam kenyataan kepada media memaklumkan Husni mengaku salah berhubung tindakannya yang melanggar undang-undang melalui surat yang dihantar kepada badan induk sepak takraw asia itu.

Beliau berkata, penggantungan 5 tahun sudah dikenakan dan sewajarnya semua jawatan Husni dilucutkan serta-merta berdasarkan perlembagaan PSM Fasal 40 dan 41.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:01 AM