Pemain tenis sensasi Serbia, Novak Djokovic. FOTO AFP
Pemain tenis sensasi Serbia, Novak Djokovic. FOTO AFP
Agensi

Melbourne: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic disenaraikan pada Terbuka Australia sekalipun status mengenai pengambilan vaksin Covid-19 bintang Serbia itu belum didedahkan manakala juara tujuh kali, Serena Williams pula tidak mengambil bahagian.

Djokovic yang juga juara bertahan enggan mendedahkan status vaksinnya iaitu syarat ditetapkan untuk beraksi di Melbourne.

Serena, 40, pula berkata dia belum cukup cergas untuk bersaingan di Grand Slam pertama 2022 itu.

"Ini adalah keputusan yang sukar. Sememangnya saya belum bersedia dari segi fizikal untuk bertanding.

"Saya rindu bertemu peminat tetapi saya mahu memastikan penyertaan pada bertanding dalam keadaan terbaik."

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu dari Britain akan melakukan penampilan pertama di kejohanan itu.

Rakan sepasukan dari Britain, Cameron Norrie, Dan Evans dan Heather Watson turut berada dalam senarai penyertaan pemain.

Juara 20 kali Grand Slam, Roger Federer dijangka tidak bertanding ketika masih meneruskan rawatan selepas menjalani pembedahan lutut dengan juara 2014, Stanislas Wawrinka tersisih kerana kecederaan.

Terbuka Australia dijadualkan bermula 14 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 11:23 AM