AKSI Ziyad di Paralimpik Tokyo 2020. FOTO Bernama
AKSI Ziyad di Paralimpik Tokyo 2020. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Para Olahraga Kebangsaan bagi mengemukakan pendapat dan beberapa cadangan penambahbaikan kepada Olahraga Para Dunia (WPA).

Tindakan itu selaras dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan antara dibangkitkan adalah mengenai keperluan WPA menyediakan sistem pengawasan lebih kemas termasuk memasang peralatan televisyen litar tertutup (CCTV) di ruang menunggu selain merekodkan waktu setiap kali atlet hadir membuat pendaftaran.

Ia adalah satu langkah susulan selepas insiden dihadapi atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan pingat emas dan rekod dunia dilakarnya terbatal kerana dikatakan lewat tiba di ruang menunggu.

"WPA juga akan diseru untuk memperjelaskan peraturan 'Did Not Start (DNS)' bagi mengelak kekeliruan seperti dialami oleh Ziyad," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan.

Jelasnya, jika atlet gagal mendaftar pada waktu yang ditetapkan, atlet berkenaan tidak harus sama sekali dibenarkan bertanding demi mengelak kekecewaan kepada atlet berkenaan seperti Ziyad dan dua atlet, Australia dan Equador yang kemudiannya berjaya pula melakukan catatan rekod baru dunia.

"Saya yakin bahawa sepatutnya WPA dan komuniti para olahraga dunia juga semestinya berbangga dengan atlet Para Olahraga bawah naungannya seperti Ziyad yang berjaya memperbaiki catatan rekod dunia WPA sendiri," katanya.

Semalam, Ziyad dilaporkan terbukit lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya dalam acara final lontar peluru F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

Rumusan itu dibuat Jawatankuasa Siasatan Dalaman dalam laporan diserahkan kepada Ahmad Faizal.

Ahmad Faizal dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa siasatan dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah itu mendapati jurulatih dan atlet berkenaan tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.

"Dalam masa yang sama, MSN juga akan sentiasa memberikan peringatan kepada pengurusan pasukan dan jurulatih serta atlet supaya memberikan perhatian kepada tarikh dan tempoh masa pendaftaran sama ada sebelum sesuatu kejohanan mahupun semasa kejohanan berlangsung," kata Shapawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:09 PM