Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO File NSTP
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan dan pengajaran itulah yang dapat disimpulkan mengenai pencapaian kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo menjelang upacara penutup hari ini.

Menurut Ketua Kontinjen, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin tiga emas, dua perak adalah pencapaian terbaik Malaysia sepanjang menyertai temasya itu walaupun nampak sukar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dan dipalit dengan kontroversi yang melanda atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Aksi Muhammad Ziyad Zokefli dalam acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi Muhammad Ziyad Zokefli dalam acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama

Bagaimanapun, beliau berjanji perkara seumpama itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

"Insiden yang menimpa Ziyad itu adalah kesilapan yang mahal untuk kita semua tetapi saya beri jaminan, masalah sama tidak akan berulang.

"Jurulatih akan semak semula persiapan mereka di temasya termasuk masa menjalani latihan dan sebagainya, saya tidak boleh terangkan kerana saya bukan jurulatih.

"Macam renang, badminton agak baik kerana mereka disiapkan oleh jurulatih, jadi mereka tidak akan terlepas perkara-perkara penting," katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau akan terus memperjuangkan nasib Ziyad walaupun sudah bertemu dengan kontinjen Ukraine, semalam.

Ziyad minggu lalu dibatalkan penyertaannya dalam acara lontar peluru lelaki F20 susulan terdapat bantahan daripada kem Ukraine meskipun pada pertandingan berlangsung, jaguh negara itu secara dasarnya sudah berjaya merangkul emas selain catatan 17.94 meter (m) dilakukannya memecahkan rekod dunia.

Namun nasib tidak menyebelahi Ziyad apabila dirinya diklasifikasikan sebagai 'Did Not Start' (DNS) kerana didakwa lewat melapor diri ke bilik menunggu dan kemenangan menjadi milik Maksym Koval dari Ukraine.

Susulan itu, beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan mengusulkan isu berkenaan ke Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia (WPA) sejurus temasya berakhir.

"Saya fikir kita akan terus membuat susulan. Ia adalah prosedur. Umumnya kita sudah membuat permintaan dan kita akan teruskannya menerusi prosedur ditetapkan dan kita akan melakukannya.

"Kita tak kisah, kita akan buat secara teratur. Setidak-tidaknya para dunia (WPA) tahu, IPC tahu yang adanya permintaan, rayuan. Jadi ia satu prosedur yang normal dan kita akan teruskan," kata Megat dalam sidang media secara maya, hari ini.

Ditanya sama ada MPM akan memanjangkan isu berkenaan ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS), Megat berkata, itu terpulang kepada perolehan diterima peguam dilantik nanti.

"Itu kita serahkan kepada peguam dilantik. Apa yang perlu dilakukan, kita perlukan rakaman CCTV bagi memastikan atlet kita berada di sana. Rakaman itu penting untuk para dunia (WPA) dan IPC membuat penilaian.

Megat D Shahriman juga mengeluarkan kenyataan di media sosial semalam, menafikan dakwaan Ziyad lewat 28 minit ke gelanggang pertandingan seperti disiarkan sebuah akhbar tempatan.

Beliau berkata, laporan berkenaan sama sekali tidak tepat selain tidak pernah memberi sebarang input kepada mana-mana pihak mahupun pemberita berkenaan.

Beliau berharap individu yang melakukan tindakan sedemikian supaya lebih bertanggungjawab kerana sebarang spekulasi yang tidak benar mampu menjejaskan proses siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:48 PM