AKSI Joshua (kanan) ketika bertemu Usyk, bulan lalu. FOTO AFP
AKSI Joshua (kanan) ketika bertemu Usyk, bulan lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Eddie Hearn mendedahkan pertembungan kali kedua antara Anthony Joshua dan Oleksandr Usyk secara realistik akan berlangsung pada Mac 2022 dan United Kingdom (UK) kemungkinan sekali lagi menjadi lokasi pertarungan itu.

Joshua tewas kali kedua sepanjang kariernya ketika bertemu petinju Ukraine itu bulan lalu sekali gus kehilangan gelaran heavyweight WBA, IBF dan WBO selepas meraihnya ketika menewaskan Andy Ruiz pada Disember 2019.

Petinju berusia 32 tahun itu mahu perlawanan kedua dan berpeluang membalas dendam seawal Mac 2022 dengan promoter, Hearn mendedahkan UK adalah lokasi pilihan untuk perlawanan berkenaan.

Ada laporan menyatakan perlawanan itu kemungkinan berlangsung di negara kelahiran Usyk di Ukraine namun Hearn mahu ia dilangsungkan di UK sekali lagi.

"Saya rasa Mac adalah realistik, iaitu sekitar Mac. Saya berharap ia dapat dilangsungkan di UK sekali lagi.

"Ia adalah perlawanan yang besar dan pastinya banyak yang mahu menawarkan diri untuk menganjurkannya.

"Tapi seperti yang saya katakan, kami mahu ia dilangsungkan di UK," katanya.

Hearn turut mengesahkan Joshua tidak berpisah dengan jurulatihnya, Rob McCracken.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 12:10 PM