EMMA (kanan) bersama trofi kemenangan Terbuka AS 11 September lalu bersama naib juara, Leylah. FOTO AFP
EMMA (kanan) bersama trofi kemenangan Terbuka AS 11 September lalu bersama naib juara, Leylah. FOTO AFP
Agensi

London: Kelengkapan pakaian Emma Raducanu ketika melakar kemenangan di Terbuka Amerika Syarikat (AS) akan dipamerkan di Dewan Kemasyhuran Tenis (ITHF).

Ia selepas sensasi berusia 18 tahun dari Britain itu muncul pemain pertama dari pusingan kelayakan memenangi gelaran Grand Slam.

Emma menewaskan pemain Kanada, Leylah Fernandez pada pentas final di Flushing Meadows awal bulan ini untuk muncul pemain British wanita pertama memenangi acara perseorangan di kejohanan utama buat kali pertama selepas 44 tahun.

Kejayaan itu juga menyaksikannya naik 128 anak tangga di kedudukan ranking ke-22 dunia.

Dia mengambil keputusan untuk menderma kelengkapan pakaian Nike yang dipakainya pada aksi final kepada Dewan Kemasyhuran Tenis yang terletak di Newport dekat Rhode Island.

"Terima kasih Emma Raducanu kerana menyumbang kelengkapan pakaian bersejarah anda untuk koleksi ITHF," tweet Dewan Kemasyhuran Tenis.

Kelengkapan pakaian Emma akan dipamerkan bersama ribuan koleksi di muzium berkenaan termasuk pakaian lama seawal 1880-an serta kelengkapan yang pernah dipakai oleh Martina Navratilova, Billie Jean King dan Tracy Austin.

Terdapat juga raket yang pernah digunakan oleh barisan pemain legenda dan terkini seperti daripada Fred Perry ke Roger Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 1:07 PM