AZIZULHASNI  bersama kereta Ford GT milik TMJ yang  tular, baru-baru ini.
AZIZULHASNI bersama kereta Ford GT milik TMJ yang tular, baru-baru ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ia sebenarnya hanya gambar kenangan Datuk Azizulhasni Awang di hadapan kereta mewah milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan isteri Azizul, Athiah Ilyana Abd Samat bahawa suaminya mengambil peluang bergambar di hadapan kereta berkenaan ketika sesi pertemuan membabitkan dua figura itu minggu lalu.

Gambar Azizul di hadapan kereta 'supercar' Ford GT mencetuskan perbualan netizen yang ingin mengetahui apakah hadiah misteri yang diperoleh Azizul sebagai ganjaran meraih perak di temasya Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Menurut sumber terdekat Tunku Ismail berkenan mengurniakan ganjaran kepada pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman imbuhan dan cenderahati berupa jersi dan mafla pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Ia bukan kereta. Adalah imbuhan namun berapa jumlahnya itu saya tidak tahu. Azizul juga ada menerima cenderahati lain iaitu jersi dan mafla pasukan," kata sumber.

Status yang dimuat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Selasa lalu juga tidak mendedahkan ganjaran yang dikurniakan oleh TMJ kepada Azizul.

Bukan itu saja, netizen turut tertanya-tanya apa yang diperoleh Azizul selepas perjumpaannya bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah.

Mungkin ada juga imbuhan istimewa diberikan kepada ayah dua cahaya mata itu selepas bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jika dihitung pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio dalam acara keirin itu sudah menerima hadiah hampir RM1 juta daripada pelbagai pihak.

Azizul bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) RM300,000 dengan kerajaan Terengganu turut meraikannya dengan memberikan insentif bernilai RM350,000 merangkumi sebuah kediaman bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000.

Azizul turut ditawarkan Anugerah Biasiswa Tuanku Canselor UMT bernilai RM72,000 untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Selain itu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga menawarkan biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau PhD selama tiga tahun bernilai RM103,700.

Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhammad Muqarabbin Mokhtarudin atau lebih dikenali Qobin juga menghadiahkan RM15,000 kepada Azizul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 9:03 PM