Raja Mukhriz anggap Sam mirip Azizulhasni (foto kecil). FOTO Cinema Online/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Mukhriz anggap Sam mirip Azizulhasni (foto kecil). FOTO Cinema Online/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Shaheizy akan bawa watak Azizulhasni. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Shaheizy akan bawa watak Azizulhasni. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Rudy Imran Shamsudin


PENGARAH Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, berbesar hati apabila aktor popular Shaheizy Sam bersetuju menjayakan watak sebagai jaguh acara keirin dunia, Azizulhasni Awang.

Pelakon popular itu akan berlakon filem bercorak biografi atau biopik mengenai kisah pelumba basikal negara diterbitkan UniTalent Sdn Bhd dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama syarikat pengurusan Azizulhasni, ThreeSixty Management.

Raja Mukhriz diberikan tanggungjawab mengarahkan filem menampilkan kisah wira negara itu yang dijangka menelan belanja pembikinan RM6 juta.

Raja Mukhriz sewaktu dihubungi, hari ini, berkata dia menyambut baik maklum balas diberikan Sam yang bersungguh sungguh mahu menjayakan watak Azizul.

“Saya akui Sam seorang pelakon yang baik. Malah, kalau hendak dilihat daripada sudut fizikal tidak dinafikan dia paling mirip dengan Azizul.

“Cuma dalam situasi sekarang secara psikologinya pihak produksi masih dalam proses membuat penyelidikan dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.

Tegas Raja Mukhriz lagi, andai dinilai daripada sudut kemampuan bakat dan lakonan, Sam boleh menjayakan watak Azizul.

“Saya beberapa kali melihat gambar Sam dan Azizul, mereka hampir sama. Dari sudut fizikal pula, tidak banyak sangat perkara perlu diubah.

“Dalam situasi sekarang pihak produksi perlu menilai dari sudut perkembangan watak disebabkan ia filem biopik. Kita tidak tahu dari sisi mana kisah Azizul mahu diangkat.

“Adakah dari zaman muda selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sewaktu dia memulakan latihan di Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil dan seterusnya menjalani latihan di Australia?. Semua aspek ini perlu diambil kira,” katanya

Kata Mukhriz lagi, seperkara harus dipertimbangkan iaitu sekiranya pihak penerbitan filem meletak Sam atau siapa saja aktor sudah ada nama memegang watak sebagai Azizul, kemungkinan penonton akan lihat Sam dan bukan Azizul.

Mukhriz berkata pihak penerbitan mengadakan sesi ujibakat bagi membuka ruang dan peluang kepada semua pihak termasuk penerbit sendiri agar apa yang mahu dilakukan tepat.

Sewaktu sidang media pengumuman filem biopik Azizulhasni Awang berlangsung minggu lalu, beberapa rakan media mencadangkan agar pihak penerbit melamar Sam memandangkan kedekatan ada pada aktor itu dengan jaguh lumba basikal velodrom negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 3:11 PM