KAR Gee diberi rawatan selepas mengalami kecederaan sebelum menarik diri pada percubaan kelima. FOTO Ihsan MSN
KAR Gee diberi rawatan selepas mengalami kecederaan sebelum menarik diri pada percubaan kelima. FOTO Ihsan MSN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee menamatkan acara lompat jauh lelaki T13 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di tempat keenam dengan catatan 5.93 meter (m).

Walaupun tidak membawa pulang sebarang pingat namun persembahannya di Stadium Olimpik Tokyo hari ini harus diberikan pujian apabila berjaya perbaharui rekod peribadi terbaiknya selepas kategori asal T12 disertainya sebelum ini diubah kepada T13.

Atlet berusia 30 tahun yang bertanding dalam kategori masalah penglihatan itu, melakukan catatan berkenaan pada percubaan ketiga sebelum menarik diri pada percubaan kelima.

Atlet Azerbaijan, Orkhan Aslanov meraih pingat emas dengan lompatan terbaik 7.36m yang juga rekod baharu Asia.

Perak pula dimenangi atlet Sepanyol, Ivan Jose Cano Blanco dengan catatan 7.04m manakala perak disambar atlet Amerika Syarikat, Isaac Jean Paul, 6.93m.

Mengikut rekod, Kar Gee mula aktif dalam sukan olahraga ketika di bangku sekolah menengah di Sabah pada 2004 dan mula mewakili negara bermula empat tahun lalu.

Anak didik R Jaganathan itu juga pernah meraih perak di Kejohanan Dunia di Dubai pada 2019, selain menggondol emas pada tahun yang sama di Grand Prix Dunia Handisport di Paris.

Kar Gee mula berdepan masalah penglihatan apabila dia disahkan menghidap penyakit Stargardt pada usia lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 11:35 AM