ATLET lompat kijang, Andre Anura @ Anuar (kanan) dan pesilat negara, Nor Farah Mazlan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sabah bagi 2021 / 2022. FOTO IZWAN ABDULLAH
ATLET lompat kijang, Andre Anura @ Anuar (kanan) dan pesilat negara, Nor Farah Mazlan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sabah bagi 2021 / 2022. FOTO IZWAN ABDULLAH
Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Pemenang pingat emas lompat kijang Sukan Sea Vietnam 2022, Andre Anura @ Anuar dan pesilat negara, Nor Farah Mazlan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sabah bagi 2021 / 2022.

Kedua-dua atlet kebangsaan itu menerima anugerah yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Anugerah Sukan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Selain pingat emas Sukan Sea Vietnam, Andre turut memenangi pingat emas acara lompat kijang Terbuka Pahang 2022, selain memecah rekod lompat jauh kebangsaan selama 12 tahun milik Josbert Tinus dengan lompatan 8.02 meter untuk meraih pingat perak pada Sukan Sea ke-30 di Filipina pada 2019.

Mengulas mengenai anugerah sukan tertinggi kerajaan Sabah yang diterimanya, atlet berumur 23 tahun itu menyatakan kesyukuran atas pencapaiannya dan penghargaan yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak menjangka dipilih sebagai olahragawan sebab pada 2021 saya kurang menyertai kejohanan di luar negara. Hanya pada tahun lalu banyak kejohanan yang saya sertai.

"Saya memang bersyukur atas anugerah ini dan akan terus berusaha untuk mengekal serta meningkatkan lagi pencapaian saya dalam acara lompat kijang selepas ini," katanya.

Sementara itu, Nor Farah berjaya melakar beberapa pencapaian menarik sepanjang karier persilatannya termasuk meraih pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-19 di MTC Melaka dalam Kategori Puteri Kelas A pada tahun lalu.

Pada Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara Kelapan di Singapura pada tahun lalu juga, Nor Farah, 25, berjaya memenangi pingat perak menerusi kategori Puteri Kelas A, selain menyumbang pingat emas negara pada Sukan Sea Kemboja 2023, baru-baru ini.

Nor Farah berkata, walaupun sudah bergelar olahragawati, dia tetap terus berusaha untuk memantapkan lagi prestasi bagi melakar lebih banyak kejayaan dalam arena silat pada masa depan.

"Saya tidak mahu leka dengan apa yang dicapai sekarang selain akan terus berusaha agar dapat mengekalkan momentum untuk mendapat emas dalam kejohanan besar akan datang," kata Nor Farah.

Selain piala dan sijil, Andre dan Nor Farah turut menerima wang tunai RM10,000 atas kejayaan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sabah.

Sementara itu, anugerah olahragawan dan olahragawati paralimpik Sabah masing-masing dimenangi atlet olahraga, Wong Kar Gee dan atlet renang, Brendda Anellia Larry.

Atlet pelayaran Sabah, Muhammad Asnawi Iqbal Adam dan perenang Loo Yie Bing pula masing-masing dianugerahkan olahragawan dan olahragawati harapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 2:36 PM