MOHD SHAH FIRDAUS SAHROM
MOHD SHAH FIRDAUS SAHROM
Aida Adilah Mat


PELUMBA basikal negara Mohd Shah Firdaus Sahrom tetap optimis untuk cuba mencipta kejutan di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman Rabu depan biarpun masih dalam proses menyesuaikan diri dengan basikal baharu Worx WX-R Vorteq.

Namun, Shah Firdaus yang dalam percaturan untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik dalam acara pecut itu berkata, banyak peningkatan dapat dilihat selepas berpeluang menggunakan ‘jentera’ keluaran Britain di Piala Dunia di New Zealand Disember lalu itu biarpun masih lagi mencari keserasian.

Setakat ini, atlet berusia 24 tahun itu berpuas hati dengan apa yang dicapai termasuk mampu melakarkan masa di bawah 10 saat dalam acara pecut individu.

“Kami masih lagi dalam proses percubaan untuk menyesuaikan diri dengan basikal baharu ini dan berharap sesuatu yang baik di Berlin nanti.

“Banyak perkara baru yang kami belajar selepas Piala Dunia.

“Biarpun catatan masa semakin bagus tapi itu belum mencukupi.

“Sekarang ini saya sedang mencari cara penggunaan gear paling sesuai kerana setiap orang berbeza penggunaan gear,” katanya yang mengakui penggunaan gear dalam acara pecut sangat taktikal dan rumit.

Shah Firdaus akan menggunakan basikal bersaiz M manakala Azizul saiz S antara dua pelumba yang diberi peluang menggunakan yang paling mahal pernah digunakan pelumba negara dalam usaha memburu emas pertama negara di Olimpik, Tokyo dari 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Pada kejohanan trek dunia itu nanti, Shah Firdaus dan Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Mohd Fadhil Mohd Zonis dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga mereka itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.

Ia adalah pentas terakhir bagi skuad negara meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:01 AM