JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei gagal gagal melepasi ketinggian 2.17 meter (m) pada pusingan kelayakan acara lompat tinggi lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO Bernama
JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei gagal gagal melepasi ketinggian 2.17 meter (m) pada pusingan kelayakan acara lompat tinggi lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Linangan air mata jelas menggambarkan kesedihan dan kekecewaan atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei selepas gagal melepasi pusingan kelayakan lompat tinggi lelaki pada Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Hadir dengan misi mahu memperbaharui rekod dengan melangkah ke peringkat akhir, namun berlaku sebaliknya apabila dia gagal melepasi ketinggian minimum 2.17 meter (m). Hup Wei berkata, persiapan kurang rapi dengan hanya menyertai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sebelum menyertai Tokyo 2020 antara faktor menyebabkannya tidak memperoleh keputusan terbaik pada lompatan hari ini.

"Saya memang sedih apabila tidak dapat melakukan lompatan terbaik kerana untuk capai had minimum 2.17 meter perlu persediaan rapi.

"Bukan hanya sekadar menyertai satu atau dua kejohanan saja, namun perlu menyertai sekurang-kurangnya enam pertandingan dan kerja keras untuk mencapainya," katanya.

Terdahulu, pada saingan di Stadium Olimpik Tokyo itu, Hup Wei gagal melepasi ketinggian pertama ditetapkan dalam ketiga-tiga percubaannya, sekali gus tidak dapat meneruskan cabaran.

Untuk rekod, juara Asia 2007 itu layak ke Tokyo 2020 selepas menempatkan diri di ranking ke-23 Kejohanan Olahraga Dunia dengan 1,235 mata, sekali gus membolehkan Malaysia mempunyai wakil dalam acara lompat tinggi lelaki untuk empat edisi Olimpik berturut-turut sejak Beijing 2008.

Pada Beijing 2008, Hup Wei menamatkan saingan di tangga ke-32 selepas melepasi 2.20m manakala pada London 2012, atlet kelahiran Kajang itu berakhir di kedudukan ke-27 dengan lompatan terbaik 2.16m.

Juara tiga kali Sukan SEA itu mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama layak ke final pada Kejohanan Olahraga Dunia pada 2019 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, apabila mencipta rekod peribadi 2.29m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 5:23 PM