NAURAJ menang dua emas di Sukan SEA.
NAURAJ menang dua emas di Sukan SEA.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sukan SEA 2017 mungkin melakarkan sejarah tersendiri apabila tiga atlet lompat tinggi berpeluang menyapu bersih pingat seandainya jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei (gambar) dapat kembali beraksi.

Mengikut syarat peraturan ditetapkan, tuan rumah dibenarkan menyenaraikan tiga nama dalam acara lompat tinggi dan peluang atlet negara menyapu bersih pingat itu dianggap cerah berdasarkan barisan atlet sedia ada.

Dihantui kecederaan berulang sehingga menyebabkan terpaksa menjalani pembedahan kerana urat otot putus, Hup Wei kini bertekad kembali ke prestasi terbaik ketika melakarkan rekod kebangsaan 2.27 meter di Olimpik 2008 Beijing.

Jelasnya kehadiran beberapa nama dalam arena lompat tinggi seperti pemenang emas Sukan SEA Myanmar dan Singapura, Nauraj Singh dan pemenang gangsa Sukan SEA Singapura, Muhammed Ashraf Saipu Rahman memberi persaingan sihat dalam acara itu.

Hup Wei menegaskan perkara itu langsung tidak memberikan tekanan malah yakin mampu memberikan saingan dan sudah membuktikannya apabila berada di ranking kedua Asia Tenggara di belakang Nauraj selepas melakarkan 2.17m ketika Terbuka Singapura.

“Kehadiran ramai atlet dalam acara ini tidak memberikan tekanan kerana sepanjang tahun lalu saya tiada jurulatih. Tahun ini saya kembali bersama jurulatih lama Alim (Ahmejanov).

“Banyak perkara berlaku tahun lalu sehingga terpaksa menjalani pembedahan. Sekarang saya bebas daripada kecederaan untuk merekodkan lompatan lebih baik.

“Saya akan menyusun perancangan seterusnya kerana jika boleh mahu melepasi syarat kelayakan ke Sukan Olimpik. Saya perlu melepasi 2.29m dan tahun ini saya melakukan 2.17m,” katanya yang melepasi ketinggian 2.09m ketika menyertai Kejohanan Olahraga UNIMAP awal bulan ini. 

Nama Hup Wei satu ketika dulu cukup gah di pentas Asia Tenggara apabila muncul antara penyumbang utama pingat emas acara lompat tinggi dengan tiga emas di Sukan SEA Thailand (2007), Laos (2009) dan Indonesia (2011) selain berjaya menyumbangkan emas di Kejohanan Olahraga Asia 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:00 AM