HUP Wei ketika beraksi di Doha.
HUP Wei ketika beraksi di Doha.
Iskandar Shah Mohamed


JAGUH lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei bersedia menyertai kejohanan antarabangsa terutama di Eropah bagi memperoleh sebanyak mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Atlet berusia 32 tahun kelahiran Selangor itu turut berhasrat untuk bertanding di Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia dan Asia pada tahun depan. 

"Selepas Sukan SEA Filipina nanti, saya memang mahu menyertai dua kejohanan besar itu namun semuanya masih lagi dalam perancangan.  Saya berasa lebih baik untuk pergi ke negara lain termasuk Eropah untuk bertanding di peringkat tinggi.   

"Jika berada di ranking terbaik, saya mungkin dalam kedudukan kukuh untuk ke layak ke Olimpik," katanya kepada Arena Metro.  

Ditanya mengenai kedudukannya di ranking ke-22 dunia, Hup Wei mengakui bukan mudah untuk mengekalkannya dan perlu terus berusaha memperoleh catatan lompatan lebih baik.   "Saya kini fokus sepenuhnya menjalani latihan untuk ke Filipina dan mahu meraih pingat buat negara," kata atlet sandaran di bawah bimbingan  Alexander Gasparyan itu.  

Awal bulan lalu, Hup Wei menempa sejarah apabila menjadi atlet pertama negara melayakkan diri ke pentas final kejohanan olahraga tertinggi dunia.  Pada pusingan kelayakan Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Doha, Qatar, wakil tunggal menerusi tiket 'wild card' itu mara selepas melepasi lompatan 2.29 meter (m) sekali gus memecahkan catatan musim ini 2.27m. 

Untuk rekod, juara Kejohanan Asia 2007 yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu layak ke Sukan Olimpik Beijing, China pada 2008 dan London 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:33 PM