REAKSI kecewa Naomi. FOTO AFP
REAKSI kecewa Naomi. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Sensasi Jepun, Naomi Osaka mengalami kekalahan 1-6, 4-6 di tangan Marketa Vondrousova pada pusingan ketiga Olimpik Tokyo sekali gus meranapkan impiannya untuk memenangi pingat emas di halaman sendiri.

Naomi yang terpilih untuk menyalakan kawah Olimpik ketika majlis pembukaan rasmi, dilihat bergelut ketika beraksi di gelanggang utama di Ariake Tennis Park dan tersingkir selepas 68 minit permainan.

Dia tidak bermula dengan baik apabila gagal memanfaatkan servis yang diperolehi sebelum akhirnya tewas kepada Marketa yang juga naib juara Terbuka Perancis 2019.

Naomi yang memenangi empat gelaran Grand Slam, berdepan dengan prestasi tidak konsisten dan meskipun pada satu ketika berpeluang untuk bangkit, dia gagal memanfaatkan kesilapan dilakukan Marketa.

Kekalahan itu hadir selepas beberapa bulan lalu Naomi menolak untuk menghadiri sidang media di Terbuka Perancis.

Dia kemudian menyatakan mahu berehat kerana berdepan masalah kemurungan dan kegelisahan.

Naomi tidak beraksi di Wimbledon tetapi kemudian kembali beraksi di Olimpik dan dilihat menemui sentuhannya di awal saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 1:51 PM