Aksi bintang Jepun, Naomi Osaka ketika berdepan Coco Gauff di WTA Cincinnati Masters. FOTO AFP
Aksi bintang Jepun, Naomi Osaka ketika berdepan Coco Gauff di WTA Cincinnati Masters. FOTO AFP
AFP

Cincinnati: Sensasi Jepun, Naomi Osaka bangkit 4-6, 6-3, 6-4 untuk menewaskan pemain remaja Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff seterusnya mara ke pusingan ketiga WTA Cincinnati Masters.

Pemain pilihan utama, Ashleigh Barty turut mara selepas bangkit daripada kekalahan di pusingan pertama Olimpik Tokyo untuk memulakan kempen pra Terbuka AS dengan kemenangan 6-4, 7-6 (7/3) kepada Heather Watson dari Britain.

Juara empat kali Grand Slam, Naomi beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak temasya sukan di Jepun yang menyaksikan dia tersingkir pada pusingan ketiga.

Coco memenangi pertembungan terakhir mereka pada pusingan ketiga Terbuka Australia 2020 sebelum tewas tahun sebelumnya di Terbuka AS.

Naomi berkata pada peringkat awal permainan dia mencuba pelbagai perkara dalam perlawanan pertamanya di luar Tokyo sejak Roland Garros.

"Set pertama adalah ujian," kata Naomi.

"Saya cuba melihat apa yang sedang berlaku ketika saya sudah lama tidak beraksi banyak perlawanan.

"Saya hanya memastikan rentak permainan dan cuba bertenang untuk bersaing dengan lawan."

Naomi memberitahu kemenangan itu memberi makna cukup besar buat dirinya terutama selepas kecewa di Tokyo.

Dia akan berdepan, Jil Teichmann dari Switzerland yang menyingkirkan seorang lagi pemain AS, Bernarda Pera 6-1, 6-4.

Ashleigh pula akan berdepan juara dua kali Terbuka Australia, Victoria Azarenka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 8:29 AM