Pemain Jepun, Naomi Osaka membalas pukulan pemain China, Zheng Saisai dalam saingan Sukan Olimpik di Tokyo. FOTO AFP
Pemain Jepun, Naomi Osaka membalas pukulan pemain China, Zheng Saisai dalam saingan Sukan Olimpik di Tokyo. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Sensasi Jepun, Naomi Osaka menang dalam straight set ketika kembali ke gelanggang di Olimpik Tokyo hari ini, sementara pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty tersingkir pada pusingan pertama.

Naomi bintang pada majlis pembukaan, menewaskan pemain China, Zheng Saisai 6-1, 6-4 dalam perlawanan pertamanya sejak berehat selama lapan minggu kerana alasan mental.

"Saya sangat gementar berada di Jepun dan beraksi di sini buat pertama kali mungkin sejak dua tahun lalu dan memastikan penampilan pertama Olimpik," kata Naomi, yang dipilih sebagai pemain tenis pertama menyalakan obor utama Olimpik, kelmarin.

"Sememangnya saya berasa gementar. Tetapi saya bersyukur kerana berjaya menang, dia sememangnya lawan yang sukar."

"Saya berusaha lebih dari segalanya dan saya beri tumpuan dalam permainan. Beraksi di Olimpik menjadi impian saya sejak dari kanak-kanak lagi," tambahnya.

Juara Terbuka Australia itu tidak beraksi sejak Mei lalu, selepas dia meninggalkan saingan Roland Garros dengan menyatakan komitmen media memberi tekanan kepada masalah mental buat dirinya.

Pemain berusia 23 tahun itu dalam usaha memburu gelaran pemain Jepun pertama muncul juara acara tenis di Olimpik.

Dia akan berdepan pemain Switzerland, Viktorija Golubic dalam kelompok 32 terbaik.

Naomi kini menjadi pemain pilihan untuk memenangi pingat emas selepas Ashleigh yang juga juara Wimbledon, tewas kepada pemain Sepanyol dan ranking ke-48, Sara Sorribes Tormo, 6-4, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 5:47 PM