COWE menyerahkan kasut tajaan kepada Norza.  FOTO MOM
COWE menyerahkan kasut tajaan kepada Norza. FOTO MOM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bata Malaysia meneruskan sokongan kepada kontinjen negara apabila dilantik sebagai rakan kasut rasmi oleh Majlis Olimpik Malaysiia (MOM) untuk kontinjen Malaysia ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung dari Jumaat ini hingga 8 Ogos.

Pada edisi kali ini Bata Malaysia menaja kasut kulit Bata dan kasut sukan Power yang direka khas untuk setiap atlet negara ke Tokyo.

Majlis penajaan diadakan Isnin lalu dihadiri Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria; ketua kontinjen negara, Datuk Lee Chong Wei dan Bata Malaysia diwakili Pemangku Pengurus Negara, Duncan Cowe serta Ketua Pemasaran, Diana Wong.

"Kami sangat berbesar hati menjadi Rakan Kasut Rasmi MOM dan Kontinjen Malaysia. Tahun ini, kami memperbaharui kasut Power eksklusif dengan reka bentuk dan warna baru yang sesuai dengan pakaian dan mempamerkan semangat membara atlet negara kami," kata Duncan.

Sementara itu bagi pihak MOM, Norza mengucapkan terima kasih atas kerjasama dengan jenama berkenaan yang tidak henti memberi sokongan kepada MOM sejak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 10:10 PM