NORZA (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Chef de Mission ke Olimpik Musim Sejuk, Moira Tan Siew See (kanan). FOTO Bernama
NORZA (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Chef de Mission ke Olimpik Musim Sejuk, Moira Tan Siew See (kanan). FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun Malaysia bukanlah negara beriklim empat musim, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin atlet negara mampu menyerlah di temasya Olimpik Musim Sejuk sekiranya ada perancangan yang lebih teliti dilakukan oleh persatuan terbabit.

Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria berkata, MOM sentiasa memberi sokongan penuh, malah yakin Malaysia mampu menghantar lebih ramai atlet untuk menyertai temasya itu selepas ini.

"Seperti sedia maklum Malaysia bukan negara beriklim empat musim tapi kita berjaya buktikan kita boleh lakukan apabila ada atlet negara yang layak beraksi.

"Biarpun begitu kita masih lagi di peringkat untuk menimba pengalaman, namun ia bukan satu yang mustahil untuk sukan musim sejuk ini menerima sokongan daripada kerajaan.

"Bagaimanapun, persatuan sukan itu perlu memainkan peranan meyakinkan kerajaan dengan menyediakan 'blue print' perancangan jangka panjang.

"Jika mereka betul-betul nak kembangkan sukan ini buat betul-betul. Buktikan sebab nak dapat sokongan bukan mudah. Persatuan kenalah lakukan sesuatu," katanya.

Terdahulu Malaysia akan menghantar dua atlet, Jeffery Webb dan Aruwin Salehhuddin beraksi di temasya Olimpik Musim Sejuk di Beijing, China yang akan bermula dari 4 hingga 20 Februari.

Jeffrey akan beraksi dalam acara slalom manakala Aruwin akan beraksi dalam acara slalom dan giant slalom.

Untuk rekod, ia adalah penyertaan kali kedua kontinjen negara ke temasya musim sejuk itu selepas mencipta sejarah dengan penampilan pertama di Olimpik Musim Sejuk tiga tahun lalu di Sukan Olimpik Pyeongchang, Korea Selatan menerusi Julian Yee dan Jeffrey.

Jeffrrey, 23, ketika ini berlatih di Amerika Syarikat manakala Aruwin, 17, memindahkan latihannya ke Croatia bagi berlatih bersama-sama peluncur ski yang terbaik di dunia pada penampilan sulungnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:13 PM