KECEDERAAN lutut yang masih belum pulih memaksa Federer menarik diri daripada Olimpik. FOTO AFP
KECEDERAAN lutut yang masih belum pulih memaksa Federer menarik diri daripada Olimpik. FOTO AFP
AFP

Geneva: Roger Federer mengumumkan bahawa dia menarik diri daripada menyertai Olimpik Tokyo kerana masih lebih dalam proses pemulihan kecederaan lutut yang dialaminya.

Juara 20 kali Grand Slam itu tersingkir pada suku akhir di Wimbledon selepas tewas kepada Hubert Hurkacz minggu lalu.

Federer, 39, masih belum meraih emas di Olimpik dalam acara perseorangan, menjalani dua pembedahan di lutut kanannya pada 2020.

"Ketika sesi latihan di padang rumput, saya mengalami rasa sakit yang berulang di lutut dan sebab itu saya terpaksa membuat keputusan menarik diri dari Sukan Olimpik Tokyo," kata Federer.

Acara tenis di Jepun akan bermula dari 24 Julai, sehari selepas majlis pembukaan.

Federer yang akan berusia 40 tahun bulan depan, menarik diri dari Terbuka Perancis selepas mara ke pusingan keempat berharap kembali cergas di Wimbledon.

Dia menunjukkan seperti kembali berada di prestasi terbaik sebelum aksi suku akhir namun tewas 6-3, 7-6 (7/4), 6-0 kepada Hurkacz dari Poland.

"Saya sudah mula menjalani rawatan pemulihan dan berharap semua dapat kembali seperti biasa penghujung musim panas ini," katanya.

"Saya mengucapkan semoga berjaya kepada seluruh pasukan Switzerland dan saya akan memberi sokongan padu kepada pasukan dari jauh."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 1:08 PM