AFP

Halle Westfalen: Roger Federer mara ke pusingan kedua kejohanan ATP di Halle semalam dengan kemenangan straight set ke atas pemain kelayakan, Ilya Ivashka.

Federer yang bakal berusia 40 tahun pada Ogos berdepan sedikit kesukaran pada perlawanan pertamanya di atas gelanggang rumput musim ini sebelum menang 7-6 (7/4), 7-5 ke atas pemain Belarus, Ivashka yang menduduki ranking ke-90 dunia.

Federer, pilihan kelima di Halle akan menentang pemain Kanada, Felix Auger-Aliassime atau Pole Hubert Hurkacz di pusingan kedua.

"Masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi saya gembira dengan aksi pertama di atas tanah rumput," kata Federer yang kini berada di ranking kelapan dunia dan memburu trofi Halle buat kali ke-11.

Dia yang menjalani pembedahan lutut kanan sebanyak dua kali pada 2020 terpaksa menarik diri di pusingan keempat Terbuka Perancis minggu lalu bagi memberikan rehat yang cukup buat dirinya.

Pemenang 20 kali gelaran Grand Slam itu menjadikan kejohanan di Halle sebagai pemanas badan dalam misi meraih gelaran kesembilan Wimbledon yang bermula 28 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 8:30 AM