Berrettini mara ke pentas akhir Wimbledon buat kali pertama. FOTO AFP
Berrettini mara ke pentas akhir Wimbledon buat kali pertama. FOTO AFP
Agensi

London: Pemain Itali, Matteo Berrettini mengharapkan negaranya akan merangkul dua kejayaan berganda - Euro 2020 dan juga juara Wimbledon apabila dia turut mara ke final kejohanan itu dengan kejayaan mengagumkan ke atas Hubert Hurkacz.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi pemain Itali pertama - lelaki atau wanita - mara ke final di Kelab All England itu selepas menundukkan pemain Poland, Hurkacz 6-3 6-0 6-7 (3-7) 6-4 di Centre Court, semalam.

Berrettini yang sebelum ini memenangi Queen sebelum turun beraksi di Wimbledon hanya tewas dua set dalam laluannya ke final SW19, akan berdepan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic esok.

Pada hari yang sama berlangsungnya Grand Slam akhir, skuad Roberto Mancini akan menentang England pada final Euro 2020 di Wembley dan ia bermaksud Itali boleh meraikan dua kemenangan menakjubkan pada awal pagi Isnin ini jika mereka berjaya bergelar juara.

"Saya tak tahu untuk berkata-bata. Hanya ingin berterima kasih kepada penonton, saya rasa saya memerlukan beberapa jam untuk memahami apa yang berlaku.

"Tapi saya bermain dalam perlawanan yang hebat. Saya menikmati keadaan ini dengan kehadiran penonton, keluarga dan keseluruhan pasukan di sana. Saya tidak pernah berfikir mengenai ini kerana ia terlalu besar. Saya sangat gembira.

"Apabila anda bermain di peringkat ini semuanya pasti sempurna. Saya cuba menjadi yang terbaik dalam segalanya.

"Setakat ini, ini adalah hari terbaik dalam permainan tenis saya. Semoga hari Ahad menjadi lebih baik lagi. Saya agak menggigil tapi saya melakukannya jadi saya harus mempercayainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:43 AM