KAROLINA PLISKOVA
KAROLINA PLISKOVA

MELBOURNE: Pilihan ketujuh dari Republik Czech, Karolina Pliskova melangkah ke suku akhir tenis Terbuka Australia untuk tahun ketiga berturut-turut, selepas menundukkan pilihan ke-18, Garbine Muguruza dari Sepanyol.

Pliskova melakar kemenangan 6-3, 6-1 sekali gus bakal membuat perhitungan sama ada dengan pemain nombor satu dunia, Simona Halep atau pemenang 23 kejuaraan Grand Slam, Serena Williams.

Pemain berusia 26 tahun ini sering melangkah ke saingan suku akhir pada saingan Grand Slam sejak 2016, namun masih buntu untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun katanya, Melbourne Park adalah antara venue kegemarannya selepas turut mara ke suku akhir pada eidisi 2017 dan 2018. 

Pliskova melangkah ke edisi Grand Slam kali ini dengan tonik tambahan selepas melakar kemenangan pada aksi pemanas badan di Brisbane International.

“Saya rasa saya dapat beraksi dengan baik. Set pertama sangat penting kerana kami berdua agak gementar dan perlawanan berlangsung dengan begitu sengit,” katanya.

Pliskova turun ke gelanggang dengan rekod kemenangan 7-2 ke atas Muguruza dan sentiasa dilihat mempamerkan aksi cukup meyakinkan.

Muguruza pula dilihat agak keletihan selepas bekerja keras melepasi halangan pemain Britain, Johanna Konta pada pusingan ketiga.

Pemain Sepanyol itu juga sedang mencari rentak permainan sebenar seperti ketika dia menyandang ranking pertama dunia dan menjuarai Terbuka Perancis 2016, serta Wimbledon setahun kemudian. - AFP

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 4:41 PM