AHMAD turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937). FOTO NSTP
AHMAD turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937). FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perseteruan antara Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail kini sampai ke kemuncaknya apabila Astaf sebulat suara menjatuhkan hukuman penggantungan selama 15 tahun kepada Ahmad berkuat kuasa esok.

Beliau dijatuhkan hukuman itu berdasarkan empat pertuduhan yang dikemukakan kepadanya kerana melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Astaf.

Dalam perkembangan yang sama, Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937).

Panel Perbicaraan Disiplin Astaf, Prof Chalerm Chaiwatcharaporn berkata, keputusan itu dicapai selepas jawatankuasa itu bersidang di Singapura secara dalam talian berserta wakil dari India, Indonesia, Iran, Jepun, Pakistan dan Thailand.

"Ahmad mempunyai empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf iaitu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk meminta campur tangan keputusan pemilihan Kongres Astaf pada 1 Mac lalu.

"Jadi selepas mendengar semua pendakwaan dan kenyataan tiga saksi, jawatankuasa memutuskan untuk menjatuhkan hukuman 15 tahun ke atas Ahmad selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

"Dia juga perlu membayar AS$25,000 (RM102,937) bagi menanggung kos perbicaraan itu dan sekiranya gagal, dia akan dikenakan hukuman penggantungan tambahan sebanyak dua tahun lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Astaf bagaimanapun memberi kelonggaran dengan memberi masa 14 hari untuk Tok Mat mengemukakan rayuan bertulis kepada Astaf.

Namun jika gagal dia perlu melunaskan bayaran itu dalam tempoh 14 hari berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 8:37 PM