Zuraidin Abdullah
Zuraidin Abdullah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: 'Pertarungan' satu lawan satu belum lagi bermula untuk kerusi panas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) namun Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) Zuraidin Abdullah sudah memberi bayangan untuk melepaskan jawatan itu kepada lawannya.

Jika situasi berkenaan berlaku, ini bermakna Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) Datuk Mohd Sumali Reduan bakal menerajui kepimpinan PSM apabila menang tanpa bertanding kelak.

Mengesahkan perkara itu, Zuraidin berkata, keputusan itu dibuat selepas satu perbincangan dilakukan bersama presiden gabungan negeri yang menjurus untuknya menolak pencalonan bagi kedua-dua jawatan berkenaan.

Zuraidin berkata, walaupun bersedia untuk mengundur diri daripada jawatan berkenaan namun Gastak akan terus berdiri teguh di belakang PSM bagi menaikkan semula martabat badan induk sepak takraw negara itu yang tercalar sebelum ini termasuk merapatkan semula hubungan dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

"Kita nak elak daripada berlakunya pertandingan. Dalam satu perbincangan dengan beberapa presiden semalam, majoritinya sepakat untuk memberi laluan kepada Datuk Sumali (presiden).

"Menerusi perbincangan ini, saya melihat jawatan itu tidak perlu ada pertandingan supaya menampakkan ia lebih baik," katanya.

Mengikut rekod, senarai nama pencalonan pemilihan bagi penggal 2022-2025 yang akan diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM Sabtu ini, Sumali menerima tujuh pencalonan manakala Zuraidin, dua pencalonan bagi jawatan presiden.

Untuk jawatan timbalan presiden pula, Sumali yang juga naib presiden PSM menerima dua pencalonan manakala Zuraidin, satu pencalonan.

Dua lagi calon timbalan iaitu Presiden Persatuan Sepak Takraw negeri Johor (PSNJ), Datuk Abdul Halim Suleiman menerima lapan pencalonan Datuk Abdul Puhat Mat Nayan (Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan), tujuh pencalonan.

Sementara itu, Zuraidin berkata, beliau mempunyai beberapa perancangan untuk Gastak sekali gus dibimbangi jika diberikan tanggungjawab lain akan mengganggu kelancaran untuk melaksanakannya pada masa akan datang.

"Sebenarnya kita (Gastak) sudah ada beberapa perancangan yang ingin dibuat. Saya pun sudah ada pasukan sendiri. Saya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk menjadi rakan strategik bagi membantu daripada sudut kewangan dan kepakaran.

"Ini kerana, kita tak boleh buang masa lagi sekiranya diberikan tanggungjawab (dalam PSM), kita terus nak buat dan itu adalah perancangannya.

"Namun kalau begitulah pilihan terbaik (menolak pencalonan), kita bagaimanapun akan tetap memberi sokongan daripada belakang tabir. Kita tak akan lari (daripada PSM) dan terus menyokong. Gastak akan tetap berada dalam PSM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 9:02 PM