Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) serta Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan perseteruan apabila masing-masing mengesahkan tiket ke final Piala TNB, Ahad ini sekali gus mengulangi final tahun lalu.

Pada aksi separuh akhir kedua semalam, KLHC seperti dijangka tidak berdepan masalah menewaskan Sapura 2-1 untuk mara menerusi agregat 8-1 selepas membelasah lawan sama 6-0 menerusi aksi pertama.

Gol KLHC disumbangkan kapten pasukan Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-29 dan Ali Shan m-52 manakala Sapura memperoleh gol sagu hati menerusi Muhammad Imran m-9.

Sementara itu, THT yang memegang status selaku juara bertahan dan baru saja meraih kemenangan liga, bangkit daripada kekalahan 3-5 kepada Maybank pada aksi separuh akhir pertama.

Anak buah Sarjit Singh memanfaatkan peluang di separuh akhir kedua semalam dengan mencatatkan kemenangan 7-2 sekali gus mara menerusi agregat 10-7.

THT nyata garang apabila meledak tiga gol menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil m-2 dan 8 serta Jose Leandro Tolini m-9.

Faizal Saari menambah gol keempat m-33 tetapi pemain import Maybank Muhammad Toseeq meledak gol pertama pada m-39.

THT mengukuhkan kedudukan dengan gol kelima jaringan Muhammad Firhan Ashari m-45 sebelum Nicolas Cicileo menambah gol keenam tiga minit kemudian dan Faizal pada m-51.

Tonggak import Maybank, Deepanshu Bhargav meledak gol kedua seminit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 8:53 AM