Rozliana Mohd Ridwan. FOTO Ihsan FB AsiaRugby
Rozliana Mohd Ridwan. FOTO Ihsan FB AsiaRugby
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ini adalah satu detik membanggakan buat Rozliana Mohd Ridwan apabila terpilih sebagai seorang daripada 15 pemain ragbi wanita Asia untuk kempen Asia Rugby Unstoppable Ambassador.

Bekas kapten skuad ragbi tujuh sepasukan wanita di Sukan Sea 2019 itu dipilih dalam kalangan senarai awal 84 calon daripada 32 negara sempena kempen bulan sukan wanita dikenali sebagai Asia Rugby Unstoppable Campaign.

Kempen berkenaan mengiktiraf kepentingan wanita dalam sukan ragbi dan bagaimana mereka menyumbang kepada perkembangan sukan berkenaan di rantau ini.

"Sudah semestinya saya berbangga dan gembira… semua pengorbanan dan kerja keras saya selama lebih empat tahun dalam sukan ini sangat berbaloi.

"Dengan pengiktirafan ini, saya harap lebih ramai wanita Malaysia mendapat inspirasi untuk menjadi lebih berani.

"Memang tidak dinafikan ragbi adalah sukan yang agak lasak, tetapi dengan latihan serta teknik yang betul dan menekankan keselamatan, baru kita tahu ragbi juga sama seperti sukan lain," kata Rozliana yang kini bertugas sebagai penolong jurulatih bawah 23 tahun.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Asia Rugby dan Pembangunan Wanita World Rugby, Ada Milby turut mengucapkan tahniah dan menyatakan kepercayaan serta keyakinannya terhadap Rozliana dalam memberi inspirasi kepada atlet wanita.

"Kami mendapat inspirasi daripada kisah Rozliana dan sememangnya gembira kerana beliau antara yang terpilih untuk mewakili wanita dalam ragbi di Asia.

"Rozliana akan di temu bual secara mendalam sempena kempen ini, untuk berkongsi ceritanya dengan orang ramai," katanya.

Rozliana antara watak utama skuad ragbi tujuh sepasukan wanita negara yang menghadiahkan pingat gangsa di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Pada 2018, Rozliana adalah kapten pasukan kebangsaan yang muncul juara Asia Rugby Women's Sevens Trophy (ARWST) di Brunei, sekali gus meletakkan Malaysia di ranking kelapan Asia.

Rozliana sekali lagi membawa pasukan wanita negara naik ke tempat ketujuh dalam siri Kejohanan Ragbi Tujuh Sepasukan Wanita Asia dan mengekalkan pingat gangsa di Sukan Sea ke-30 di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:48 PM