MUN Yee harap penerjun muda dapat pamer aksi terbaik esok.
MUN Yee harap penerjun muda dapat pamer aksi terbaik esok.
BERNAMA

Hanoi: Selain pingat emas, kem terjun negara berharap mampu menuai sebutir lagi pingat dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita Sukan Sea ke-31 yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh di sini, esok.

Pengurus skuad terjun kebangsaan Datuk Leong Mun Yee berkata selain Nur Dhabitah Sabri yang menjadi pilihan utama merangkul emas acara itu, penerjun muda berusia 19 tahun Kimberly Bong Qian Ping turut diletakkan harapan menaiki podium.

Namun, Mun Yee berkata tiada sasaran pingat spesifik buat Kimberly esok memandangkan ia bukan acara utama atlet kelahiran Sarawak itu yang lebih gemar beraksi dalam acara platform.

"Penyertaan kali ini kita memang nak masukkan satu penerjun senior dan junior setiap acara termasuk acara individu. Kita harap langkah ini dapat memberikan pendedahan kepada penerjun muda dalam usaha mempersiapkan mereka ke kejohanan mendatang.

"Saya berharap mereka (penerjun muda) yang dibawa ke sini dapat pamerkan semangat juang tinggi dan cuba berikan yang terbaik," katanya ketika ditemui media Malaysia pada sesi latihan kem terjun negara di Pusat Akuatik My Dinh, hari ini.

Selain Nur Dhabitah dan Kimberly, gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang turut dijadual turun memburu pingat emas dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki di venue sama, esok.

Berdasarkan kemas kini senarai atlet bertanding, hanya Yi Wei-Tze Liang dan pasangan Vietnam Nguyen Tung Duong-Phuong The Anh akan berentap merebut pingat emas acara 3m papan anjal seirama lelaki selepas Singapura menarik diri.

Bagaimanapun, Mun Yee enggan mengulas mengenai perkembangan itu dan berharap gandingan negara dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Pada edisi Sukan Sea kali ini, kem terjun negara dibarisi 11 atlet menyasarkan untuk menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan sekali gus mengulangi pencapaian sama pada edisi 2019 di Filipina.

Sukan Sea ke-31 dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei dengan beberapa jenis sukan antaranya bola sepak dan terjun memulakan saingan lebih awal.

Sukan terjun membuka saingan bermula dari 8-11 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 9:30 PM