BELANDA berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia Remaja. FOTO Bernama
BELANDA berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia Remaja. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Belanda mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia Remaja selepas menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan D, hari ini.

Turun dalam misi wajib menang ternyata memberi motivasi buat skuad bimbingan Jesse Mahieu yang dilihat lebih mendominasi permainan dan berjaya mendapatkan dua jaringan pantas di separuh masa pertama.

Belanda juga peroleh empat pukulan sudut penalti sepanjang permainan tetapi kesemuanya gagal diterjemahkan dengan baik oleh pemain mereka.

Selain itu, skuad kendalian Aaron Ford cuba bangkit di separuh masa kedua dan berjaya mendapatkan satu jaringan namun itu belum cukup untuk menyekat kemaraan lawan mereka.

New Zealand yang sudah tersingkir dari kejohanan ini kelihatan cuba untuk mencipta satu kejutan atau sekurang-kurangnya seri namun mereka terpaksa akur apabila lawan berada di prestasi lebih baik.

Tiga gol Belanda hadir dari Oliver Hortensius pada minit ke-19, (m-31) dan Casper van der Veen (m-22) manakala gol saguhati untuk New Zealand pula menerusi James Nicolson (m-33).

Sementara itu, satu lagi perlawanan dalam Kumpulan D akan yang berlangsung pada sebelah malam menemukan Pakistan dan Belgium akan turun untuk merebut satu lagi slot ke pusingan seterusnya.

Ketika ini, kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang untuk layak dan Pakistan hanya memerlukan seri sementara Belgium tiada pilihan lain selain wajib menang jika ingin bersama-sama Belanda ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 2:06 PM